Penderma hati pertama kongsi kenangan selepas 24 tahun

Penderma hati pertama kongsi kenangan selepas 24 tahun

WAN Mohd. Hafizam Wan Ismail menunjukkan gambarnya selepas menjalani pembedahan bagi mendermakan sebahagian hatinya kepada Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini pada 1999. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Walaupun sudah 24 tahun berlalu, kenangan melakukan pembedahan pemindahan hati kepada seorang bayi sekitar 1999 masih segar dalam ingatan Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail.

Lelaki tersebut adalah penderma hati pertama di negara ini yang kisahnya pada masa itu mendapat perhatian ramai kerana sanggup berkorban ‘memberi kehidupan’ kepada bayi berkenaan.

Dia yang berusia 23 tahun ketika itu mendermakan sebahagian hatinya kepada bayi berusia setahun tujuh bulan, Mohd. Afiq Ikmal Muhammad Zaini.

Mengimbau kembali kisah berkenaan kepada Utusan Malaysia, Mohd Hafizam yang merupakan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, sebelum mendermakan sebahagian hatinya, dia pada mulanya tidak memaklumkan kepada ibunya, Fatimah Abdul, 71, berhubung pembedahan yang bakal dijalaninya itu.

“Mak saya pada mulanya agak terkejut apabila mengetahui saya mendermakan sebahagian hati kepada Afiq melalui laporan media dan dia tidak memberi keizinan bagi menjalani pembedahan berkenaan. Saya kemudian memaklumkan kepada keluarga Mohd. Afiq Ikmal untuk membawanya ke Changlun, Kedah bagi bertemu dengan mak.

“Selepas melihat sendiri keadaannya ketika itu, emak terus mengalirkan air mata sambil memangku bayi berkenaan dan merestui langkah saya untuk mendermakan hati,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Hafizam, ibunya memberi restu kepadanya untuk mendermakan sebahagian hati walaupun mereka tidak mempunyai sebarang pertalian persaudaraan.

“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan itulah pembedahan pemindahan hati pertama yang dilakukan di Malaysia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC),” katanya.

Dalam pada itu, anak keempat daripada enam beradik itu berkata, dia mendapat motivasi bagi membantu Mohd. Afiq Ikmal ketika itu selepas mengenangkan kesukaran hidupnya bersama ibunya berikutan daripada kekangan kewangan dihadapi sebelum ini.

Katanya, walaupun Mohd. Afiq Ikmal telah meninggal dunia pada 2021, dia masih terkenangkan kisah berkenaan yang sentiasa tersemat di dalam hatinya.

“Pada malam Mohd. Afiq Ikmal meninggal dunia, itulah kali pertama saya dapat tidur dengan nyenyak malah Allahyarham (Mohd. Afiq Ikmal ) juga seperti dapat rasakan yang masanya sudah sampai.

“Sebelum koma, Mohd. Afiq Ikmal sebenarnya telah membuat tempahan cenderamata kepada jururawat dan doktor yang merawatnya malah dia sempat menempah batu nisannya sendiri.
“Ironinya, saya mendermakan hati kepada Mohd. Afiq Ikmal semasa berusia 23 tahun dan dia meninggal dunia pada usia 23 tahun,” katanya.

Menurutnya lagi, dia kini aktif menjalankan tugas melatih kuda malah keadaan kesihatannya tidak terganggu susulan pembedahan pemindahan hati tersebut.

“Selepas pemindahan hati itu, saya menjadi semakin berani malah saya juga giat melakukan aktiviti lasak seperti terjunan payung terjun dan pelbagai lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN