PAPAR: Masalah bekalan air di kawasan pantai barat Sabah dijangka selesai apabila Empangan Hidro Ulu Padas di Tenom siap dibina pada 2027.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek pembinaan empangan bernilai RM4 bilion yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan syarikat swasta itu mampu menghasilkan air sebanyak 6,000 juta liter sehari (MLD).
Beliau berkata, majlis pecah tanah bagi projek tersebut dijadualkan pada Oktober ini dan pembinaannya akan mengambil masa selama lebih tiga tahun.
“Pembinaan empangan itu antara rancangan jangka masa panjang kerajaan negeri dalam usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang dihadapi oleh rakyat Sabah pada masa ini.
“Empangan itu bukan hanya sekadar menghasilkan bekalan air malah, ia juga akan menjana bekalan elektrik. Air yang disalurkan akan mampu menampung keperluan sehingga 80 hingga 100 tahun akan datang,” katanya semasa majlis pecah tanah projek pembinaan LRA Kogopon di Papar hari ini.
Pada masa sama, kerajaan juga sedang melakukan kajian kemungkinan bagi membina empangan di daerah ini sama ada Empangan Papar atau Empangan Kaiduan. Projek ini juga antara usaha yang diambil dalam menstabilkan bekalan air di Sabah.
Hajiji berkata, bagi rancangan jangka pendek pula, kerajaan akan mula melaksanakan kerja-kerja pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon yang dilihat mampu meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 40 MLD kepada 80 MLD.
“Inilah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan kerana kita tahu sekarang ini masalah bekalan air berlaku di sekitar Kota Kinabalu dan daerah-daerah lain di Sabah.
“Pembinaan loji ini bermula pada bulan ini dan dijangka siap pada Ogos 2026 dengan kos pembinaan sebanyak RM379 juta. Peningkatan kapasiti air daripada 40 MLD kepada 80 MLD akan membolehkan masalah bekalan air di kawasan Papar sehingga Putatan dan Kimanis dapat diselesaikan.
“Loji ini akan dapat membekalkan air yang mencukupi sehingga 2040. Maka, kerajaan akan memberi keutamaan untuk melaksanakan projek ini. Kerajaan dahulu terlalu banyak bercerita politik, sekarang saya tidak banyak cerita politik sebaliknya bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Sabah turut menerima peruntukan RM320 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah air dalam jangka masa pendek termasuk menyelenggara paip-paip yang rosak.
Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali. –UTUSAN










