PDRM pantau pegawai, anggota polis hidup mewah

PDRM pantau pegawai, anggota polis hidup mewah

RAZARUDDIN HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis akan memantau termasuk melakukan ‘profiling’ terhadap pegawai atau anggota pasukan itu yang dikesan hidup mewah tidak setara dengan jawatan dan gaji bulanan mereka.

Penegasan itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain terhadap anggotanya yang mengamalkan gaya hidup berlebihan sehingga mendatangkan tanda tanya terutama dalam kalangan orang awam tentang sumber kekayaan yang diperoleh.

Memberitahu Mingguan Malaysia, Razarudin berkata, tindakan ‘profiling’ dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap anggota yang didapati memiliki aset atau berbelanja lebih daripada gaji atau kemampuan.

“Mengambil contoh, jika gaji pegawai itu RM8,000 dengan mempunyai tiga buah rumah dan tiga kereta. Kita akan siasat perbelanjaan rumah, kad kredit dan lain-lain sama ada ia setara dengan pendapatan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Katanya, bagi pegawai dan anggota yang terpalit dengan fitnah atau dilaporkan berkaitan isu rasuah pula, siasatan juga dilakukan JIPS bagi memastikan kesahihan dakwaan itu sebelum tindakan sewajarnya diambil.

“Setiap tohmahan yang dibuat, kita ada lakukan risikan dan siasatan. Bukan itu sahaja, tindakan juga diambil sekiranya mempunyai maklumat berkaitan anggota dan pegawai kita yang didapati berkaraoke atau mabuk di kelab malam.

“Ini salah satu prosedur operasi standard (SOP) JIPS bagi mengekang serta menyekat peluang warga PDRM untuk terlibat dengan aktiviti tidak sihat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, audit kewangan akan dibuat terhadap setiap majlis keraian atau program yang diadakan di peringkat daerah, kontinjen mahupun Bukit Aman bagi mengetahui sumber kewangan itu.

“Apa sahaja majlis yang diadakan perlu dilaporkan kepada JIPS sama ada dana itu dikutip daripada pegawai dan anggota atau sebaliknya,” tegasnya.

Katanya, tindakan tegas diperlukan bagi memastikan pelanggaran salah laku tidak terus menjadi kanser yang menghancurkan PDRM.

Tegas beliau, PDRM sehingga kini konsisten dan tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan dalam jabatan.

“Ini jelas terbukti apabila tindakan tegas melalui JIPS yang telah mengenakan hukuman terhadap 447 pegawai dan anggota dari 2020 hingga Jun lalu. Ketegasan ini penting demi menjaga integriti dan imej pasukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×