PETALING JAYA: Pas menafikan dakwaan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi atas alasan mengamalkan ideologi pengganas.
Menurut parti itu, tindakan menularkan kenyataan palsu tersebut adalah bukti bahawa pihak lawan ketandusan idea untuk bersaing secara demokratik, matang dan bermaruah pada pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Berkongsikan kesalahan fakta yang terkandung dalam surat tersebut, Pas berkata, kenyataan rasmi Kerajaan Arab Saudi menggunakan tahun hijrah bukannya masihi.
“Selain itu, Tan Sri Presiden Pas bukan lagi Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.
“Ayuh bersama PN (Perikatan Nasional), kita lenyapkan budaya politik yang rendah akal budi seperti ini dan kita bina negara yang bersih dan stabil,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi parti tersebut.
Dalam kenyataan berbahasa Inggeris yang ditularkan kononnya dikeluarkan Kementerian Luar Negara Kerajaan Arab Saudi bertarikh 31 Julai, terdapat tiga alasan dikemukakan menjadi punca kepada Abdul Hadi dikenakan sekatan.
Ia adalah ideologi ekstreme dikeluarkan Ahli Parlimen Marang tersebut yang mengancam keselamatan Kerajaan Arab Saudi.
Selain itu, Abdul Hadi juga didakwa mempengaruhi rakyat untuk menggulingkan kerajaan semasa atas nama Jihad mengakibatkan kematian orang tidak bersalah.
Terakhir, Abdul Hadi dikatakan mengeluarkan kenyataan terbuka menyokong pergerakan Shiah sebagai sebahagian daripada Islam iaitu bercanggah dengan keyakinan Ahli Sunnah Waljamaah. – UTUSAN