Partiban buka 'akaun' gol di KDA

Partiban buka ‘akaun’ gol di KDA

J. Partiban meraikan jaringan sulungnya di Stadium Darul Aman ketika membantu KDA menewaskan Sri Pahang dalam aksi Liga Super di Alor Setar. -IHSAN KDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Selepas tewas di tangan The Boss Gaurus pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bangkit mencatat kemenangan dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Sri Pahang FC, 2-0 di laman sendiri sebentar tadi.

Dengan disaksikan 4,144 penonton, Sang kenari mula membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi penyerang utama mereka, Ifedayo Olusegun setelah lontaran jauh dilakukan pemain pertahanan, Ariff Farhan Md. Isa ke dalam kotak penalti.

Bola itu kemudian ditanduk ke belakang oleh salah seorang pemain Sri Pahang, lalu singgah tepat ke kaki Ifedayo untuk pemain berusia 32 tahun itu melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Izham Tarmizi Roslan.

Sri Pahang cuba mengancam kubu tuan rumah melalui Kpah Sherman pada minit ke-27 tetapi hasrat pemain yang pernah berkelana ke Kedah itu digagalkan oleh kecekapan penjaga gawang KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz ketika kedua-dua mereka berada dalam kedudukan satu lawan satu.

Kelincahan Manuel Hidalgo terus menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat apabila dia memperdaya seorang pemain lawan sebelum melakukan hantaran silang tepat ke kepala Amirbek Juraboev. Tandukan pemain import dari Tajikistan itu bagaimanapun ditepis Izham bagi mengelak pintu golnya dibocori kali kedua.

Usaha berterusan KDA FC memburu gol sebelum separuh masa pertama berakhir berhasil pada minit ke-41 apabila kapten mereka, Manuel Ott melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti yang gagal ditampan kemas oleh Izham Tarmizi, sekali gus membolehkan J. Partiban menyudahkan ke gawang lawan.

Memasuki babak kedua, Tok Gajah terlebih dulu berpeluang untuk menghasilkan gol apabila mereka memperolehi sepakan percuma di luar kotak penalti setelah Sherman dijatuhkan oleh Rodney Celvin pada minit ke-51.

Sepakan diambil pemain tengah mereka, Kevin Ingreso walaupun kencang dapat ditepis Kalamullah yang melayangkan badannya ke sebelah kanan bagi menyelamatkan keadaan.

KDA FC turut berpeluang menghasilkan jaringan selepas itu namun Ott mensia-siakannya apabila dia yang tidak dikawal dalam kotak penalti, melepaskan rembatan terlalu kuat melepasi palang selepas menerima hantaran lintang dari Hidalgo pada minit ke-63.

Empat minit kemudian, kecekapan Kalamullah sekali lagi mengecewakan anak-anak buah Fandi Ahmad apabila sepakan percuma diambil pemain import Tok Gajah dari Uzbekistan, Kuvondik Ruziev berjaya ditepis keluar walaupun bola dihalakan ke sudut sukar.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil Mohd. Fusser Mad Sallih bagi menandakan pasukan tuan rumah menggenggam tiga mata berharga. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN