Pak Mus terkenang peristiwa helikopter terhempas

Pak Mus terkenang peristiwa helikopter terhempas

MUSTAFA Taib menunjukkan gerakan mendaki bukit berbatu dalam Operasi Selamat Sawadee tahun 1979. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Pengalaman berdepan dengan detik cemas ketika helikopter Nuri 1718 yang dinaiki terhempas akibat kerosakan teknikal ketika Operasi Selamat Sawadee di Ulu Kelantan bulan Mac tahun 1979 kekal dalam ingatan Sarjan (bersara) Mustafa Taib.

Mustafa atau panggilan Pak Mus, 66, memberitahu, ketika itu dia berusia 22 tahun dan setiap kejadian yang berlaku tidak dapat dilupakannya terutama pada waktu helikopter yang dinaikinya bersama anggota X1 Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK) terhempas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, pasukan mereka didatangkan khas dari Kem Sungai Udang Melaka untuk transit di Kem Tambun, Ipoh sebelum ditugaskan menjejaki komunis di hutan Perak, Kelantan dan sempadan Thailand.

Hal ini kerana, katanya, Parti Komunis Malaya (PKM) pada awal tahun 1970-an sering melakukan sabotaj selain melakukan serang hendap terhadap pasukan keselamatan negara sehingga menyebabkan kerugian harta benda dan nyawa.

“Satu keajaiban berlaku walaupun helikopter jatuh kira-kira 30 meter dari tanah dan sayap patah berkecai, tetapi ia tidak terbakar manakala tentera-tentera komando hanya cedera dan mengalami trauma.

“Bagaimanapun, sebagai anggota komando yang berjiwa keras dan kental yang dilatih di Kem Sungai Udang Melaka, kami meneruskan operasi berikutan ancaman komunis yang semakin menggila,” katanya.

Menurut Pak Mus, dalam Ops Selamat Sawadee itu, dia hampir maut apabila peluru yang ditembak komunis menembus beri hijau yang dipakainya.

Tambah beliau, bangkai helikopter itu kini dipamerkan di Kem Tambun Perak untuk tontonan pengunjung sekali gus mendidik rakyat supayakan cintakan negara dan bangsa.

Pak Mus yang berkhidmat selama 22 tahun dengan ATM dengan pangkat terakhir Staf Sarjan mengakui peristiwa 44 tahun lalu itu masih berbekas dihatinya selain mengenangkan cabaran besar menangani kekejaman komunis.

Menurutnya, anggota komando merupakan pasukan elit yang menguasai pelbagai kemahiran ikhtiar hidup yang ditakuti komunis yang bermaharajalela ketika itu.

Tambah beliau, antara rakan sepasukannya pada waktu itu ialah Staf Sarjan Abd.Ghani Buruk, Staf Sarjan Philip Antong, Koperal Johari Afendi dan lain-lain.

“Alhamdulillah kami semua selamat, nyawa kami bagaikan di hujung tanduk kerana komunis sudah banyak menanam jerangkap samar yang boleh membawa maut jika tersalah langkah., katanya.

Pak Mus berkata, dia masih ingat dalam tahun 1979, sebanyak empat kali RGK X1 ditugaskan sebagai barisan hadapan di sempadan Malaysia- Thailand termasuk di Gubir, Grik, Perak.

Menurutnya, anggota komando ditugaskan membersihkan kawasan berkenaan daripada ancaman komunis yang menjadi musuh utama negara.

“Berpuasa dan beraya dalam hutan sudah menjadi rutin pasukan komando walaupun ada niat seperti orang lain untuk Bersama keluarga di hari mulia,” katanya.

Pak Mus bercerita akan pasukannya terpaksa makan apa sahaja yang boleh mengenyangkan apabila bekalan habis termasuk cacing tanah yang dikeringkan.

Menurutnya, walaupun dalam hutan banyak buah-buah kayu yang boleh dimakan, tetapi, ia sangat bahaya untuk mereka tidak boleh berdiri kerana boleh menjadi sasaran komunis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN