KUANTAN: Pahang kehilangan seorang pemimpin yang banyak berbakti kepada rakyat dengan pemergiaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam kejadian sebuah pesawat ringan terhempas di laluan masuk ke kawasan kediaman Elmina di Seksyen U16, di sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan penuh kesedihan dan dukacita, beliau dimaklumkan bahawa Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau negeri merupakan salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat terbabit.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga semua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.
“Sesungguhnya negeri Pahang kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak menaburkan khidmat bakti untuk rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy dalam pada itu menyeru orang ramai tidak menyebarkan imej atau video ketika kemalangan bagi menghormati keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan.
“Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin. Amin,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan dipercayai 10 mangsa terlibat dalam kejadian sebuah pesawat ringan terhempas di laluan masuk ke kawasan kediaman Elmina di Seksyen U16, di sini, tadi.
Pesawat ringan berkenaan dipercayai berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1), terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam. -UTUSAN










