PAC akan siar nama pegawai tinggi enggan beri kerjasama

PAC akan siar nama pegawai tinggi enggan beri kerjasama

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menyiarkan nama-nama saksi termasuk Pegawai Pengawal dan Ketua Setiausaha (KSU) yang enggan hadir pada prosiding siasatannya kepada umum supaya rakyat tahu isu disiasat tidak mendapat kerjasama individu terbabit.

Selain itu, PAC juga mahu satu mekanisme perlu diwujudkan oleh kerajaan agar kesemua bekas Pegawai Pengawal dan KSU yang dipanggil, hadir ke prosidingnya.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, majoriti prosiding diadakan pihaknya ada membabitkan saksi yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan terutamanya Pegawai Pengawal dan KSU.

Menurutnya, ia adalah untuk memastikan segala isu yang dibangkitkan ketika sesuatu prosiding terutama membabitkan hal dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapat penjelasan dan keterangan sewajarnya daripada semua pihak berkepentingan.

“PAC mengambil maklum bahawa tempoh perkhidmatan Pegawai Pengawal dan KSU yang dilaporkan dalam LKAN biasanya melangkaui Pegawai Pengawal dan KSU sedia ada, hingga menyebabkan mereka gagal memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang didapati kerana ia berlaku bukan pada tempoh perkhidmatan mereka.

“Justeru, adalah amat penting untuk semua Pegawai Pengawal dan KSU bertanggungjawab terhadap PAC seperti termaktub dalam Arahan Perbendaharaan (Pindaan 2023) dengan memastikan kehadiran semua saksi termasuk bekas Pegawai Pengawal dan KSU apabila dipanggil oleh menghadiri prosiding.

“PAC ingin menegaskan bahawa kesemua bekas Pegawai Pengawal dan KSU perlu bertanggungjawab dan hadir bagi menjelaskan mengenai isu-isu yang timbul semasa mereka menerajui Kementerian, Jabatan atau Agensi Kerajaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, dalam memastikan PAC menjalankan siasatan yang menyeluruh, ketidakhadiran bekas Pegawai Pengawal dan KSU akan menyebabkan laporan PAC tidak komprehensif. 

“Keengganan mantan Pegawai Pengawal dan KSU untuk hadir ke prosiding PAC merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (a) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) dan secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa terdapat perkara yang ingin disembunyikan.

“Pada masa sama, PAC menuntut Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengambil maklum sekiranya ada, bekas Pegawai Pengawal dan KSU yang enggan hadir dalam prosiding jawatan kuasa ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, kehadiran saksi dalam prosiding PAC adalah platform terbaik untuk mereka memberikan penjelasan serta keterangan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara dalam LKAN.

“Pada masa sama, adalah penting untuk PAC menyediakan laporan yang komprehensif dan telus dengan mengambil kira keterangan dan penjelasan semua pihak berkepentingan dalam isu yang disiasat supaya laporan itu benar-benar seimbang demi kepentingan semua pihak.

“Laporan PAC yang komprehensif dan telus ini juga adalah selaras dengan perbahasan Ahli-ahli Parlimen ketika perbahasan LKAN di Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya PAC menyiasat dengan lebih terperinci isu-isu yang dibangkitkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya