GOMBAK: Pemergian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai disifatkan sebagai satu lagi kehilangan buat negara.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau turut bersedih dengan pemergian Johari yang sudah dianggap sebagai sahabat baiknya.
Kata beliau, Johari adalah seorang pemimpin yang baik dan mempunyai sifat lemah lembut.
“Bagi saya, saya kehilangan seorang sahabat dan negara (pula) kehilangan pemimpin yang baik.
“Johari dengan saya adalah kawan rapat yang selalu berjumpa, kali terakhir (kami) berjumpa (pada) Mac.
“Saya mengenali beliau secara peribadi, beliau seorang pemimpin yang baik. Sebagai sahabat, saya tengok beliau adalah seorang pemimpin yang lemah lembut, tidak pernah meninggikan suaranya apabila bercakap. Jadi kehilangannya memang amat dirasai,” katanya ketika ditemui media di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, disini hari ini.
Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 petang.
Selain dua juruterbang pesawat dan lima lagi penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit.
Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemergian Johari merupakan kehilangan besar buat rakyat negeri Pahang dan Pelangai.
“Sudah tentulah ia satu kerugian amat besar terutama buat rakyat negeri Pahang kerana Allahyarham adalah seorang (pemimpin) yang sangat komited dan bekerja kuat.
“Setiap minggu saya bersama dengan rakan-rakan Exco berjumpa dengan Johari dan beliau sering mengutarakan (isu) di kawasannya di samping portfolio dipegang beliau.
“Saya rasa ini satu takdir yang kita tidak dapat elakkan tapi memang kehilangan buat kami di Pahang dan saya percaya kehilangan amat besar (bagi) rakyat di kawasan Pelangai,” katanya.
Selain Johari, negara turut menghadapi kehilangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Julai lepas. – UTUSAN