IPOH: Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di peringkat sekolah sebagai suatu usaha yang positif dalam usaha meningkatkan sahsiah dan pemikiran pelajar melalui kerangka hadis Nabi SAW.
Pengerusi MUIS, Datuk Zamri Hashim berkata, usaha itu penting bagi menzahirkan bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang bersifat sejagat dan universal, bersesuaian dengan perutusan Rasulullah SAW adalah sebagai rahmat kepada sekalian alam.
Menurutnya, ia juga sebagai langkah menyebarkan pengajaran dan intipati kandungannya yang positif kepada semua lapisan masyarakat, termasuklah masyarakat berlainan agama.
“MUIS menyeru pihak-pihak tertentu untuk bersikap positif dan terbuka dalam menanggapi perkara ini, kerana hakikatnya inisiatif ini menepati aspirasi kenegaraan yang beridentitikan negara Islam.
“MUIS juga menyarankan agar semua agama yang diamalkan di Malaysia membuktikan bahawa pengamalan agama mereka tidak menolak atau tertutup dalam menerima identiti kenegaraan Malaysia yang berdiri atas tunggak agama Islam dan orang Melayu serta sistem beraja yang telah dibina sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.
Modul itu akan mula dilaksanakan di SMKA dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, modul berkenaan membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca serta dihayati. – UTUSAN