Muda vs veteran: Lambang parti main peranan

Muda vs veteran: Lambang parti main peranan

PEMASANGAN bendera parti secara semasa kempen pilihan raya, penting bagi mengenal pasti calon parti mana yang bertandinh . GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertandingan merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini bakal menjadi medan pengujian penerimaan calon muda untuk menjadi wakil berbanding calon veteran.

Ini kerana dalam PRN tersebut sebanyak 17 calon yang berumur 29 tahun kebawah bertanding dan 111 calon berumur 60 tahun ke atas turut menyertai perebutan kerusi DUN yang ditandingkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Politik, Dr Azmi Hassan berkata, faktor umur calon hanya mempengaruhi pengundi sebanyak 30 peratus sahaja kerana pengundi lebih cenderung melihat pada lambang parti.

Sehubungan itu, kata beliau, parti yang kukuh akan memberi kekuatan kepada calon-calonnya untuk memenangi kerusi DUN yang dipertandingkan di dalam pilihan raya tersebut.

“Pengundi bukan sahaja melihat calon apabila membuat pilihan pada peti undi tetapi mereka akan kaitkan dengan parti mana yang dibelakang calon tersebut. Jadi walaupun calon adalah muda namun dibelakangnya adalah parti yang kuat maka mudah untuk pengundi membuat pilihan.

“Contoh paling nyata adalah di DUN Hulu Kelang, calon muda (Juwairiya Zulkifli) berdepan dengan calon veteran (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dari Perikatan Nasional (PN). Nak kata calon muda mempunyai kelebihan tidak, nak kata ada kelemahan pun tidak.

“Ini kerana calon muda tersebut mempunyai PH dibelakangnya sementara calon veteran pula walaupun mempunyai stigma-stigma negatif tetap mempunyai sokongan kerana ada parti yang besar dibelakangnya juga.

“Umpama calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan wakil-wakilnya yang muda di dalam PRN tetapi parti tersebut tidak mempunyai sejarah kekuatan jadi menyebabkan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menarik pengundi walaupun barisan calonnya semua muda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu calon termuda dalam PRN ini, Melanie Ting Yi-Hlin, 23, daripada Muda berkata, beliau yakin untuk memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa berdasarkan dapatan hasil daripada kempen dan berjumpa dengan penduduk.

Jelasnya, beliau yakin kerana manifesto yang dirinya rangka danbentangkan pada penduduk di sana adalah merangkumi keperluan serta penyelesaian masalah dihadapi oleh mereka ketika ini.

“Saya bersama pasukan sering turun padang, berjumpa dan berbincang dengan warga di sini. Jadi saya melihat apa yang mereka mahu, apa isu dihadapi. Selepas itu, saya buat manifesto melalui apa mereka mahu saya suarakan.

“Saya tidak hanya mahu pengundi dan penduduk di sini hanya mengenali saya sebagai calon termuda sahaja tetapi mengenali saya melalui manifesto saya sendiri,” katanya.- UTUSAN

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN