MUDA nafi sertai PRN bertujuan jadi pemecah undi - Utusan Malaysia

MUDA nafi sertai PRN bertujuan jadi pemecah undi

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) dan Luqman Long (kanan) pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, petang  ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menafikan tohmahan penyertaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bertujuan menjadi pemecah undi.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu komited membawa suara rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama apabila meletakkan calon bertanding dalam pilihan raya itu.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, MUDA mahu berperanan sebagai suara semak dan imbang kepada kerajaan negeri bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

“Penyertaan MUDA dalam PRN bukan mudah kerana kita terhimpit antara dua blok gergasi politik tanah air iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Tidak masuk akal untuk kata MUDA akan pecahkan undi pengundi Melayu dan bukan Melayu sedangkan realitinya, kita mahu menyatupadukan dan membawa suara rakyat.

“Semua kaum berhak mendapat sistem pendidikan, kesihatan dan pengangkutan yang lebih baik. Jadi semua harus pandang ke depan dengan politik sihat,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan MUDA di Kampung Cina, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, calon MUDA, Luqman Long yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.

Tambah Syed Saddiq, MUDA turut berhasrat menjadi pembangkang yang bermaruah di Terengganu dengan memastikan proses semak dan imbang kepada kerajaan baharu kelak.

Katanya lagi, tanggungjawab kepada rakyat merentasi faktor kaum dan bangsa selain tidak boleh sekadar menggunakan politik menakut-nakutkan.

“Rakyat perlu memberi peluang kepada MUDA membawa idea yang lebih segar dan kita mahu diberi peluang bersuara di sidang DUN agar kualiti hidup dapat ditingkatkan,” tambahnya.

MUDA mempertaruhkan seramai 20 calon bertanding dalam PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Seramai 14 calon akan bertanding  di DUN Selangor diikuti tiga di Pulau Pinang, Negeri Sembilan (dua)  dan Terengganu (satu).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya