BEKAS vokalis Wings, Mel tidak pernah menganggap dirinya sudah berhijrah sepenuhnya walaupun pernah hadir dengan beberapa lagu berbentuk ketuhanan.
Mel atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, 57, berkata, hijrah menuntut kesungguhan untuk melakukan perubahan besar dalam hidup dan meninggalkan segala hiburan yang melalaikan.
“Saya takut hendak cakap sudah berhijrah sepenuhnya sebab ia bukan perkara main-main.
“Hijrah ini bagi saya adalah meninggalkan terus nyanyian. Untuk bagi Allah gembira dan suka, kita buang segala perkara melalaikan dalam hidup.
“Baru-baru ini pun saya pakai jaket balik, pakai topi dan buat persembahan di konsert Barbarik,” katanya.
Mel bagaimanapun kini lebih terbuka dan mahu menggunakan platform seni untuk menyebarkan dakwah dengan cara tersendiri.
Katanya, dia berhasrat mengajak rakan-rakan artis kembali ke pangkal jalan dan sentiasa mengingati Allah SWT.
“Kalau boleh saya hendak bawa rakan-rakan artis seangkatan balik ke pangkal jalan dan bersama mengingati Allah. Itu antara perkara yang saya nak buat.
“Saya juga pernah suarakan hasrat kepada Joe Wings untuk mengumpulkan rakan-rakan kita yang pernah berselisihan faham buat satu album berkonsepkan ketuhanan.
“Kalau dulu mungkin kita asyik bermegah-megah dengan benda lain. Kadang-kadang kita terlalu seronok dengan maksiat, takut mati nanti dalam maksiat,” jelasnya.
DITIMPA STROK
Pengalaman ditimpa mild strok sejak umur 45 tahun mengajar Mel untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan.
Katanya, dia serik dengan amalan dan tabiat pemakanan dahulu sehingga menyebabkan dia ditimpa sakit.
“Dulu setiap pagi saya makan dua keping roti canai, letak sambal sardin, teh tarik atau milo ais. Kemudian ambil pula telur separuh masak dua biji.
“Balik tak bersenam pun, terus tidur pasang penghawa dingin. Dari pukul 10 pagi sampai 12 tengah hari. Itulah rutin selama setahun sampai berat badan naik jadi 105 kilogram (kg),” katanya.
Selepas 13 tahun, bapa kepada vokalis kumpulan Kristal, Ewal kini beransur pulih dan menganggap ia sebagai ujian dan peringatan Tuhan buat dirinya.
“Saya anggap ia sebagai ujian sebelum usia menjelang senja. Masa sakit, doktor cakap tak boleh makan daging, ayam dan telur selama setahun. Rungsing juga nak makan apa masa itu.
“Alhamdulillah, berkat jaga pemakanan dan isteri juga kawal selera makan saya, penyakit beransur pulih,” kongsinya.
Mel bersama tiga lagi rakan artis iaitu Ali XPDC, Dr Sam dan Iwan Syahman ditemui semasa sidang akhbar Angkasa Mukmin Sdn Bhd dan Hayya Travel Tours Sdn Bhd.