LAS VEGAS: Satu laporan polis dibuat berhubung insiden baling mikrofon membabitkan penyanyi rap terkenal, Cardi B yang berlaku baru-baru ini.
Lapor USA Today, laporan tersebut difailkan mangsa di Ibu Pejabat Polis Metropolitan Las Vegas, semalam.
Pihak polis bagaimanapun mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Cardi atau nama sebenarnya Belcalis Marlenis Almanzar sejak beberapa hari lepas tular gara-gara tindakan balasnya membaling mikrofon ke arah seorang individu yang bertindak luar batas dengan menyimbah air ke arahnya ketika membuat persembahan sempena sebuah konsert di sebuah kelab di Las Vegas.
Insiden berkenaan menerima reaksi pelbagai di media sosial dan Internet.
“Trend peminat hadir ke konsert semata-mata untuk menyerang artis yang membuat persembahan adalah biadab.
“Saya berharap pelaku menerima hukuman sewajarnya,” tulis pengguna akaun Twitter, celestifairy.
Insiden kekasaran membabitkan penyanyi lagu Bodak Yellow itu bukan kali pertama berlaku.
Cardi sebelum ini pernah bertindak agresif dengan memukul salah seorang peminat yang menarik bajunya sewaktu penyanyi tersebut membuat persembahan sempena Festival WAP di London, tahun lepas.