PETALING JAYA: Kartel dadah antarabangsa terutamanya dari Amerika Latin menjadikan Malaysia sebagai hab transit mengedar kokain bagi meneroka pasaran baharu di negara-negara Asia Tenggara terutama Australia dan Singapura.
Perniagaan kokain memberi pulangan sehingga lima kali ganda berbanding dadah lain selain permintaannya semakin menjadi ‘kegilaan’ kalangan penagih dadah golongan mewah.
Berdasarkan harga pasaran semasa kokain di rantau Asia Tenggara termasuk Australia pada tahun 2021 dijual RM200,000 bagi setiap kilogram.
Harga pasaran di negara asal yang menghasilkan kokain seperti di Colombia, Mexico, Peru dan Panama hanya sekitar RM40,000 hingga RM50,000 setiap kilogram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Amer Fawwaz Mohd. Yasid berkata, sejak kebelakangan ini, kartel dadah antarabangsa terutamanya yang mengedarkan dadah jenis kokain mula melihat pasaran Asia Tenggara dan Australia sebagai ‘lubuk’ disebabkan pulangannya sangat lumayan dan mempunyai permintaan.
Menurutnya, punca utama Malaysia menjadi sasaran hub transit kartel dadah antarabangsa adalah disebabkan kedudukan negara yang berada di tengah-tengah jalan penghubung Timur dan Barat.
“Kedudukan Malaysia yang strategik menjadikannya lokasi transit sebelum dadah-dadah tersebut dihantar ke negara destinasi seperti Singapura dan Australia.
“Selain itu, kartel Amerika Latin yang merupakan pengeluar utama dadah jenis kokain juga sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah mula menyasarkan pasaran Asia Tenggara untuk mengedarkan ‘produk’ mereka memandangkan ia memberi pulangan sangat lumayan.
“Kos pengeluaran dan pemprosesan dadah jenis kokain di negara asalnya adalah sangat murah, namun apabila ia diseludup keluar melalui jalan laut dan udara ke kawasan timur jauh (Asia Tenggara) harganya meningkat sehingga lima kali ganda,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, permintaan dadah jenis kokain di Malaysia tidak ramai kerana harganya terlalu mahal untuk dibeli.
“Namun saya tidak menolak kemungkinan dadah tersebut digunakan oleh golongan ‘kayangan’ kerana harganya untuk satu gram mencecah RM200,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat dua lagi pengeluar dadah terbesar di dunia iaitu di Segi Tiga Emas dan Bulan Sabit Emas yang menghasilkan dadah jenis heroin turut menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum mengedarkannya ke negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Australia.
Untuk rekod, Segi Tiga Emas adalah kawasan membabitkan negara Thailand, Myanmar dan Laos manakala Bulan Sabit Emas merangkumi negara Iran, Afghanistan dan Pakistan.
“Kartel Bulan Sabit Emas biasanya menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum mengedarkan dadah jenis heroin mereka ke negara seperti Thailand dan Myanmar untuk diproses kerana kedua-dua negara tersebut mempunyai banyak makmal berpusat.
“Selain itu, Segi Tiga Emas juga sejak kebelakangan ini juga sudah mula mengubah produk hasil mereka daripada dadah jenis asli kepada sintetik memandangkan ia lebih murah dan pasarannya lebih luas di sekitar Asia Tenggara dan Australia,” katanya.
Kelmarin media melaporkan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 88 kilogram dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM17.6 juta menerusi serbuan di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 1 Ogos lepas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, dalam serbuan kira-kira 8 malam itu, sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita empat unit kotak mengandungi 995 botol kaca yang di dalamnya terdapat kapsul disyaki kokain.
Pada September 2019, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas 12 tan dadah jenis kokain bernilai RM2.4 bilion yang cuba diseludup daripada Amerika Latin untuk dihantar ke sebuah negara lain melalui Pelabuhan Butterworth, Pulau Pinang.
Dadah jenis kokain yang dicampur dengan arang batu tersebut adalah rampasan dadah terbesar dalam sejarah di negara.- UTUSAN










