Mak saya ajar untuk percaya pada rezeki - Amir Masdi - Utusan Malaysia

Mak saya ajar untuk percaya pada rezeki – Amir Masdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA berbual dengan pemuzik yang sudah makan garam melihat penyanyi timbul tenggelam dalam industri seni negara, mereka mendedahkan kepada saya satu rahsia yang membuatkan seorang artis bertahan lama. 

Kuncinya, mereka mesti menghasilkan album. Jika bergantung kepada single semata-mata, mereka sukar untuk laku sepanjang zaman. Mereka mudah luput dan dilupakan. 

Kebetulan, saya menerima khabar seorang penyanyi muda hadir dengan sebuah album, sesuatu yang langka dilakukan penyanyi seumurnya. Saya cepat menyemak platform penstriman, mendengar satu per satu lagu dalam album yang kulit digitalnya seakan-akan matahari beserta namanya yang tertera, Amir Masdi. 

Berlainan seperti kulit wajahnya yang menyala kuning dan merah, lagu-lagu di dalam album Amir Masdi banyak menyentuh tentang kata pisah. Seolah-olah jika album ini adalah warna, ia akan menjelma sebagai biru gelap, hitam atau merah hati seperti darah. 

Tiada yang membantah ketika namanya dilayangkan sebagai penghias wajah Pancaindera. Seperti cakap-cakap rakan wartawan dan pemain industri, Amir Syazwan Masdi, 27, adalah nama yang disenangi. 

“Sebenarnya saya tak perasan banyak lagu di dalam album ini bercerita banyak tentang patah hati, ia sangat kebetulan,” Amir tersenyum membuka bicara. 

Di samping berkolaborasi dengan komposer hebat seperti Hang Nadim, Bunga Cantik, Edry Abdul Halim dan Iqie Hugh, Amir menulis tiga lagu dalam albumnya sendiri iaitu Menyesal, Aura Kejora dan Memori Bersama. Ketiga-tiga lagunya bertemakan perpisahan dan kenangan. 

Perasaan yang indah dan manis untuk dilalui buat pertama kali bagi anak muda di usia 20-an. 

“Memori Bersama adalah lagu yang saya tulis paling sekejap dengan durasi yang pendek sekitar tiga minit. Ia sudah lama berlalu, tentang cinta pertama saya semasa zaman sekolah. 

“Saya hanya mengingatnya sebagai kenangan walau penghujung kisah kami tidak berpanjangan. Kalau ada perkara yang saya sesalkan dalam hidup mungkin cinta. Kalau boleh patah balik masa, saya tak mahu buang waktu. 

“Tapi jika tak lalui pengalaman itu saya tak belajar dan matang tentang perasaan. ” katanya yang sebelum ini mengunci mulut bercakap tentang kisah peribadinya. 

Begitulah keindahan album, dari lagu-lagu yang dinyanyikan ia mewakili perasaan, sejarah dan pengalaman seseorang artis di dalam fasa tertentu hidupnya. 

Dengan mendengar lagu, kita sebenarnya sedang mengikuti proses kedewasaan seseorang penyanyi dengan cara paling sederhana sekali. 

“Awal-awal saya menjadi penyanyi, saya sudah bermimpi untuk ada album. Saya menunggu tujuh tahun untuk hasrat saya dikabulkan. 

“Saya rasa ia masa yang tepat. Jika ia terbit lebih awal mungkin ia tidak cukup panas. Mak saya ajar untuk percaya pada rezeki. Ia akan mengelakkan saya daripada kerap kecewa hingga membunuh semangat,” tambahnya. 

TIADA JALAN SINGKAT

MENJUARAI program realiti Akademi Fantasia (AF) pada tahun 2016 membantu nama Amir Masdi untuk bertapak. 

Namun tidak mudah untuk meledak. Enam tahun selepas kemenangan itu, barulah dia mula mencuri tumpuan perlahan-lahan. 

Bergandingan dengan penyanyi bernama besar, videonya berlari mengejar dua persembahan di malam tahun baru menjadi tular sehinggalah dicalonkan untuk kategori penyanyi lelaki popular anugerah berprestij negara. Semuanya tidak muncul sekelip mata. 

“Susah menjadi penyanyi era ini. Bila semakin banyak teknologi, orang mencipta jalan pintas hanya untuk meraih populariti. 

“Kasihan mereka yang benar-benar berbakat mahu jadi penyanyi, kehadiran mereka dikaburi dan sukar mendapat tempat. 

“Bagi saya tiada jalan singkat untuk berjaya kerana ia hanya memberi kesan buruk. Kalau nak cipta kontroversi semata-mata ingin cepat naik sehingga menggadai maruah, ia hanya bertahan sekejap,” katanya. 

Sebelum meninggalkan ruang temu ramah, saya sempat bertanya kepada Amir. Selepas menjadi rockstar patah hati menerusi album barunya, selepas ini apa pula? “Saya akan kembali menjadi rockers yang gembira,” katanya ketawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya