PETALING JAYA: Lafaz cerai yang dibuat oleh penyanyi veteran, ND Lala, 62, terhadap isterinya, Fauziah Sarman perlu disahkan di mahkamah syariah.
Peguam Syarie, Hadi Salleh berkata, hanya hakim yang mempunyai kuasa dan berhak mengesahkan sesuatu lafaz cerai sama ada lisan atau bukan lisan.
“Semuanya tertakluk kepada fakta dan pertimbangan hakim. Jadi perlu disahkan di mahkamah. Tiada siapa pun berhak menentukan kesahan sesuatu lafaz melainkan hakim sahaja.
“Lafaz ini ada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Lafaz melalui WhatsApp dianggap sebagai lafaz kinayah.
“Lafaz melalui WhatsApp dianggap sebagai lafaz kinayah. Bila jadi kinayah semuanya bergantung kepada niat suami sewaktu lafaz itu dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, teka-teki status perkahwinan ND Lala dengan isteri pertamanya selama 34 tahun terungkai apabila Fauziah mengumumkan sudah diceraikan menerusi pesanan di aplikasi WhatsApp.
Katanya, lafaz tersebut sudah dilakukan oleh bekas suaminya di Masjid Ar Rahman, Bangsar, 2 Ogos lalu, dan dimaklumkan semalam (8 Ogos 2023).
Usaha mendapatkan Fauziah atau ND Lala gagal apabila panggilan dan kiriman mesej yang dibuat tidak berbalas.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-59 menjelaskan, talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah perceraian yang tidak menepati adab perceraian yang digariskan oleh syarak.
Tambahan pula, dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan hal yang sama iaitu talak yang diucapkan melalui pesanan ringkas (sms) atau sebagainya termasuk di dalam talak secara kinayah.
Talak seperti ini tidak akan berlaku melainkan apabila si suami memang berniat untuk menceraikan isterinya. Ini kerana, pesanan ringkas ini termasuk di dalam khabar (berita) yang boleh jadi ia benar dan boleh jadi ia dusta.
Apabila berlaku perkara seperti ini, si suami akan ditanya akan niatnya. Jika dia memang berniat untuk menceraikan isterinya, maka ia dikira (jatuh talak tersebut). Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dikira.
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan meminta agar setiap pasangan yang diceraikan melalui khidmat pesanan ringkas ini perlu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah berdekatan dengan negeri yang didiami apabila berhadapan dengan situasi sebegini. – UTUSAN










