Sebagai sebuah universiti kebangsaan yang ditubuhkan demi memenuhi hasrat rakyat, penekanan yang tinggi kepada usaha untuk mencapai perpaduan masyarakat sememangnya sentiasa dititikberatkan oleh UKM termasuk menubuhklan Kursi Perpaduan Tun Dr Ismail.
Berteraskan konsep kesepaduan sosial dalam mengecilkan jurang masyarakat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh universiti watan ini demi mencapai keseimbangan ekosistem perpaduan dan keharmonian dalam negara.
Antaranya, penubuhan Institut Kajian Etnik (KITA-UKM), yang merupakan satu-satunya institut penyelidikan di Malaysia yang memberi tumpuan penuh terhadap kajian etnik dan etnisiti pada 8 Oktober 2007, seiring pelantikan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin sebagai Pengarah Pengasasnya.
Perjuangan hampir dua dekad KITA-UKM ternyata tidak sia-sia apabila menerima penghormatan besar daripada kerajaan melalui mandat penubuhan Kursi Tun Dr. Ismail di KITA-UKM yang disampaikan sendiri oleh Perdana
Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam majlis memperingati tokoh negarawan, Tun Dr. Ismail Al-Haj: Tonggak perpaduan Negara, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengimbas karakter istimewa Allahyarham Tun Dr Ismail Al-Haj; seorang negarawan yang pernah menyelamatkan negara daripada konflik perkauman yang tercetus sejurus peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman disifatkan sebagai sebagai seorang yang luar biasa, tegas, berintegriti serta digeruni oleh masyarakat.
Negarawan tersohor ini berjaya menyelesaikan pergolakan kaum di Persekutuan Tanah Melayu yang baru sahaja mencapai kemerdekaan pada waktu itu dengan tegas dan berani. Tutur kata beliau yang jelas serta aura tersendiri yang dimiliki memberi rasa gerun kepada masyarakat, hanya dengan lirikan mata yang tajam.
Namun begitu, Allahyarham Tun Dr. Ismail adalah antara tokoh yang turut sama menggariskan lima prinsip Rukun Negara yang dijunjung sehingga ke hari ini.
Pemilihan UKM sebagai institusi ulung mengetuai kursi ini ditunjangi oleh sorotan peranan, hasil karya penyelidikan, kertas kerja, daya usaha dan peranan besar KITA dalam konteks perpaduan dan semangat kekitaan di
Malaysia. Kursi ini juga membantu menyelaraskan operasi penyelidikan merentasi disiplin, fakulti dan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi dalam negara.
Penubuhan Kursi Tun Dr. Ismail di KITA-UKM juga dianggap tepat pada masanya, memandangkan KITA telah terlibat secara langsung, aktif dan berterusan dalam konteks perpaduan menerusi Kementerian Perpaduan Negara.
Kerjasama ini telah terjalin erat sejak penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (2013) dan KITA telah membantu membina kerangka Pelan Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan (2015) dengan memperkenalkan konsep tiga serangkai iaitu perpaduan yang diidamkan, kesepaduan yang dicapai, penyatupaduan yang diusahakan. Justeru, penubuhan Kursi Tun Dr. Ismail yang memfokus kepada penyelidikan perpaduan berada tepat dan sesuai dengan pengalaman, kemahiran, dan kekuatan KITA.
Agen Perubahan
Seiring dengan prinsip keyakinan yang terkandung dalam enam tonggak dasar membangun Malaysia MADANI, KITA-UKM sememangnya sudah bersedia untuk menjadi agen perubahan masyarakat di samping menggalas amanah serta tanggungjawab moral dalam melaksanakan inisiatif perpaduan ini.
Untuk tujuan itu, UKM melalui KITA akan terus memperkukuhkan agenda perpaduan dan keharmonian melalui dua pendekatan bersifat abstrak dan fizikal. Aspek abstrak merangkumi sejauhmana UKM dapat membantu masyarakat menterjemahkan kefahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka.
Aspek fizikal pula merujuk kepada kepelbagaian aktiviti sosial dan pendidikan yang akan terus dijayakan demi memperkasakan agenda perpaduan ini.
Terima kasih diucapkan kepada YAB Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada UKM untuk memikul amanah ini. Tidak lupa juga kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sentiasa menjadi pemangkin kepada agenda Masyarakat Madani, melalui pelbagai program di bawah naungan UKM.
UKM percaya, keunikan yang dimiliki oleh komuniti pelbagai etnik di semua IPT di Malaysia boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga akademik dan penyelidik sebagai asas kreativiti dalam setiap karya ilmiah dan cetusan idea mereka. –UTUSAN
Prof Datuk Dr Mohd. Ekhwan Toriman ialah
Naib Canselor UKM