KOTA KINABALU: Hasrat Malaysia menjadi negara pengeluar teknologi menjelang 2030 akan terjejas sekiranya peratusan pelajar mengambil aliran sains terus berkurang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, trend penurunan jumlah pelajar aliran sains itu sangat membimbangkan.
Sekiranya bakat sains atau tenaga kerja berkemahiran tinggi ini tidak mencukupi maka, hasrat untuk menjadi negara pengeluar teknologi tidak akan tercapai.
“Ketika ini, kita sedang menarik banyak pelabur masuk dan ia adalah pelaburan berteraskan teknologi dan inovasi.
“Pelaburan sebegini tidak sama dengan pelaburan intensif buruh dan itu sebabnya kita perlu sediakan bakat atau tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan pelaburan ini,” katanya selepas lawatan ke stesen pemantauan air spektrum gamma di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.
Menurut beliau, sekiranya jumlah pelajar aliran sains tidak mencukupi, ia akan menjejaskan usaha membawa masuk pelaburan berteraskan sains dan inovasi serta membantutkan hasrat kerajaan menjadi negara pengeluar teknologi.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian itu sedang mempergiatkan pembudayaan sains dalam kalangan pelajar di luar bandar menerusi pelbagai program yang sedang dilaksanakan.
Malah, jawatankuasa atau pasukan khas yang dianggotai kementeriannya dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan mesyuarat pertama bagi menangani isu kekurangan pelajar mengambil aliran sains.
Pengumuman yang lebih terperinci mengenai langkah yang bakal diambil akan dibuat dalam masa terdekat.
Jelas beliau, Kementerian Pendidikan menyasarkan pelajar aliran sains mencapai 60 peratus menjelang 2030 tapi, pada masa ini, hanya 40 peratus pelajar aliran sains direkodkan di Semenanjung Malaysia dan hanya 27 peratus di Sabah.-UTUSAN