KUALA LUMPUR: Firma perunding korporat bumiputera terbesar di Malaysia, Salihin menyasarkan pertumbuhan perniagaan dan transformasi nilai sebanyak RM200 juta menjelang 2030.
Pengasas dan Rakan Kongsi Kumpulan Salihin, Salihin Abang berkata, melalui pelan induk tersebut, kekuatan Salihin bakal dikembangkan melalui tiga strategi utama iaitu perkhidmatan, digital dan modal insan.
“Seiring dengan usaha pembentukan jenama dan pembinaan semula, Salihin mengambil inisiatif untuk membuka sebuah pusat korporat baharu di tengah-tengah segi tiga emas Kuala Lumpur.
“Inisiatif tersebut dijalankan serentak dengan penubuhan Salihin Academy, Center of Excellence yang bertanggungjawab menyediakan pendidikan dan latihan profesional bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang kewangan dan perbankan Islam.
“Kini, Salihin Academy sedang dalam proses mempelbagaikan bidang latihan dengan institusi lain. Buat masa ini, seramai 250 orang akauntan profesional dalam pelbagai disiplin kemahiran sedang berkhidmat di semua lokasi pejabat Salihin.
“Jumlah tersebut tidak termasuk hampir 100 orang perunding bersekutu yang terlibat dengan Salihin melalui Teaching Accountancy Firm (TAF) yang kami tubuhkan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pusat Korporat Salihin dan Salihin Academy di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau yang juga bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) berkata, melalui pertubuhan Salihin Academy, lebih ramai rakyat Malaysia mendapat peluang untuk berkecimpung dalam bidang perbankan Islam.
“Melalui latihan yang diberikan, akademi tersebut mampu menghasilkan lebih banyak profesional yang mempunyai kelulusan yang diiktiraf.
“Kami ingin memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar-pelajar zaman sekarang supaya mereka mempunyai nilai kebolehpasaran yang lebih tinggi. Inilah antara pengalaman bernilai yang boleh Salihin Academy berikan kepada pelajar.
“Latihan yang disediakan oleh Salihin Academy bukan sahaja disediakan untuk warga Salihin, malah, terbuka kepada ahli-ahli industri yang lain juga,” katanya.
Tambahnya, Salihin juga merupakan sebuah firma kelahiran tempatan yang menawarkan khidmat nasihat dalam pelbagai lapangan berkaitan kewangan korporat, pengauditan dan jaminan, percukaian dan pengkastaman, penyelesaian perniagaan, perakaunan dan pelaporan, teknologi maklumat dan digital serta perundingan dan penerbitan syariah, ekonomi dan kewangan Islam.
“Pelanggan-pelanggan Salihin terdiri daripada pelbagai latar industri dan sektor termasuk korporat swasta, organisasi sektor awam, bahagian di bawah kementerian, jabatan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan. Pelanggan Salihin turut merangkumi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu berprofil tinggi di Malaysia.
“Salihin memulakan langkah meneroka bidang perkhidmatan baharu berkaitan pelaporan kelestarian (sustainability reporting) yang keperluannya semakin signifikan dalam dunia korporat hari ini.
Pelaporan kelestarian merujuk kepada inisiatif dan penilaian korporat terhadap isu Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola atau ESG bagi mewujudkan dunia perniagaan madani, lestari dan bertanggungjawab,” katanya. -UTUSAN