Namanya tidak sepopular pelakon wanita lain, tetapi kehadirannya dalam industri seni lakonan tetap memberi impak. Dia juga punya peminat dan menjadi pilihan penerbit biarpun perjalanannya meraih semua itu tidak mudah.
Menjual nama dan mempertaruhkan bakat mungkin bagi segelintir orang sudah cukup untuk mendaki puncak populariti, namun hakikatnya bagi pelakon, Silfeny Osman, stigma tertentu masih bersarang dalam industri seni.
Cantik, kurus, putih masih lagi menjadi kriteria utama segelintir penerbit mencari teraju utama wanita bagi sesebuah naskhah. Jika hadirnya dengan warna kulit gelap, mungkin hanya sesuai jadi pelakon pembantu.
“Sampai sekarang memang saya tak boleh lupa. Saya hadiri uji bakat itu dengan harapan ada peluang berlakon untuk aktress baharu seperti saya. Ketika itu, saya hadir dengan bakat dan niat mencari rezeki.
“Saya lakonkan apa saja babak yang diminta oleh pengarah uji bakat untuk drama tersebut dengan harapan kemampuan saya seadilnya dinilai. Tetapi sayang, bukan bakat yang menjadi keutamaan.
“Saya dinilai menerusi warna kulit. Dia (pengarah uji bakat) cakap, industri seni tak mahu pelakon berkulit gelap macam saya. Sekarang orang nak tengok pelakon kulit putih macam dalam drama Korea,” dedahnya.
Insiden tersebut ‘menampar’ realiti Silfeny apatah lagi dia diminta untuk mendapatkan rawatan kecantikan dan pemutihan kulit sebelum menjalani mana-mana uji bakat bagi pemilihan pelakon wanita.
Biarpun sudah bertahun-tahun kejadian itu berlaku, namun sehingga kini, episod hitam itu tetap berlegar dalam fikirannya. Tetapi mahu atau tidak, dia harus terus bersemangat melawan stigma dengan bakat yang ada.
“Dalam masa sama, individu tersebut turut menasihatkan saya untuk melakukan rawatan pemutihan dan datang semula untuk uji bakat. Waktu itu, memang saya kecewa. Saya fikir, kena putih baru boleh jadi pelakon.
“Lantas, kriteria macam mana sebenarnya yang saya perlukan untuk jadi pelakon? Saya tak layak masuk industri ke?
“Tetapi saya tetap percaya dengan rezeki. Kawal perasaan dan tidak terlalu dibuai dengan stigma tersebut. Saya perlu jadi diri sendiri dan percaya dengan bakat yang ada,” kongsinya lagi.
PEMBURU RAHSIA
Percaya dengan ketentuan Ilahi, pelakon itu bagaimanapun tidak berputus asa apatah lagi melihatkan kejayaan pelakon wanita berkulit gelap atau sawo matang yang berdiri teguh dengan bakat mereka sendiri.
“Tak apa jika rezeki saya tidak bersama produksi tersebut. Saya percaya Tuhan sudah susun atur rezeki saya dengan cara terbaik. Biarpun insiden itu cukup memberi kesan, tetapi saya perlu jalan terus.
“Memang sedih bila tahu hakikat ada segelintir penerbit tidak menilai kita dari bakat, tapi paras rupa, penampilan dan warna kulit.
“Biarlah apa dugaan mendatang, saya tetap perjuangkan bakat. Saya berbangga dengan warna kulit saya,” katanya.
Teruja berkongsi perkembangan terkini, Silfeny berkata, dia gembira apabila akhirnya dapat membintangi naskhah yang memerlukan dia beraksi dan terlibat dalam beberapa adegan pertarungan.
Menerusi watak detektif Fasha dalam drama Pemburu Rahsia, isteri kepadaDatuk Hazian Murad itu juga seronok bergandingan dengan pelakon lain seperti Adam Lee dan Haliza Misbun dalam drama arahan Feroz Kader itu.
“Walaupun mereka pelakon yang dikenali ramai, tetapi tidak lokek ilmu dan senang berkerjasama. Kuncinya adalah kita sendiri kena pandai bawa diri. Tak perlu sombong atau berlagak.
“Walaupun kita datang ke set penggambaran sebagai pelakon baharu, tidak mengapa. Asalkan pandai bertegur dan ringan mulut dengan orang. Lagi pula, saya ini jenis suka ketawa.
“Dahulu ketika bertugas sebagai pramugari, saya memang sudah biasa melayan penumpang dengan ceria. Sekarang sebagai pelakon pun, saya tetap selesa menjadi diri sendiri, ceria dan penuh dengan aura positif,” katanya.
Silfeny menceburi lakonan selepas dia menyertai pertandingan Gadis Panca anjuran Utusan Malaysia pada 2017.
Antara drama lakonannya ialah Bidadari Salju, Pengantin Tiga Malam, Kerana Aku Isteri Bidaan, 7 Hari Mencintaiku 3, Ada Apa Dengan Saka dan banyak lagi.