SIBU: Sebuah kilang musnah 80 peratus dalam satu kebakaran yang dipercayai berpunca daripada sebuah mesin di kilang Kuok Ling Timber Industries, di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul pagi tadi.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut, BBP Sungai Merah telah menggerakkan sepasukan anggota penyelamat ke lokasi kejadian, dan mendapati kilang berkenaan telah terbakar 80 peratus.
“Kerja-kerja pemadaman segera dilakukan dengan menggunakan satu aliran 100 kaki serta 1 nozel dan sumber air dari jentera bagi mengawal dan memadam kebakaran,” jelasnya.
Ujarnya lagi, anggota di lokasi kejadian turut mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah mesin yang digunakan dalam kilang berkenaan.
“Setelah kebakaran dipadam sepenuhnya dan tiada lagi punca-punca api, anggota bersama jentera bertolak balik ke balai. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5 pagi tadi.
“Tiada kemalangan mahupun kecederaan telah dilaporkan dalam kejadian kebakaran berkenaan,” tambahnya.- UTUSAN










