Kerjasama Warisan-GRS? Kita sentiasa terbuka-Hajiji

Kerjasama Warisan-GRS? Kita sentiasa terbuka-Hajiji

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengambil pendekatan untuk tidak mengiyakan mahupun menolak kemungkinan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, GRS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti asalkan kerajsama itu membawa kebaikan kepada negeri Sabah.

Katanya, GRS bersikap terbuka dalam hal-hal yang membawa kebaikan kepada negeri Sabah tapi, kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan gabungan GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Di dalam BN pun ada beberapa parti, ada parti yang menyokong kerajaan ini dan ada parti di dalam (BN) yang menarik sokongan daripada kerajaan jadi, cukuplah saya cakap BN.

“Kita adalah sebuah kerajaan yang terbuka kepada apa juga cadangan-cadangan yang baik untuk perpaduan rakyat dan juga negeri Sabah,” katanya ketika diminta mengulas tentang kenyataan Ahli Parlimen Lahad Datu mengenai kemungkinan kerjasama antara Parti Warisan dan GRS pada PRN akan datang.

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah projek pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon hari ini.

Sebelum ini, Hajiji yang juga Ketua Menteri itu berkata, kerjasama yang terjalin antara GRS, PH dan BN dalam kerajaan perpaduan di Sabah akan terus dikekalkan pada pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, kerjasama bagi menghadapi pilihan raya perlu dibincangkan secara mendalam antara tujuh parti yang menganggotai GRS.

Tujuh parti itu adalah Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Pada Ahad, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd. Yusof Apdal menyatakan tidak mustahil Warisan akan bekerjasama dengan GRS pada PRN akan datang sekiranya ia boleh mencapai matlamat untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Walau bagaimanapun katanya, perkara itu perlu dirujuk kepada Majlis Tertinggi Warisan untuk dipertimbangkan.

Mohd Yusof berkata, sekiranya ada keperluan untuk bekerjasama dalam kalangan berbagai parti untuk membolehkan kerajaan dibentuk, Warisan sentiasa boleh berbincang namun, ia terletak kepada keputusan Majlis Teringgi Warisan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya