Kerjasama GRS-PH Sabah kekal pada PRN akan datang

Kerjasama GRS-PH Sabah kekal pada PRN akan datang

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerjasama yang terjalin antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan di Sabah akan dikekalkan pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tidak timbul isu GRS menolak kerjasama dengan parti nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Ketua Menteri itu berkata, kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee yang menyatakan parti nasional tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya di peringkat negeri merupakan pandangan peribadinya dan bukan mewakili pandangan GRS.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, perkara berkaitan kerjasama pada pilihan raya perlu dibincangkan secara mendalam antara tujuh parti yang menganggotai GRS.

“Tetapi, saya ingin menyatakan bahawa pilihan raya akan datang, kita adalah dalam kerajaan perpaduan termasuklah PH di Sabah.

“Kita tidak boleh berpisah dengan rakan-rakan kita sama ada PH mahupun Barisan Nasional (BN) kerana kita mahu membangunkan Sabah dan rakyat kita. Jadi, jangan terlampau berpolitik sana-sini,” katanya selepas majlis apresiasi pengurusan sekolah 2023 di sini semalam.

Menurut Hajiji, GRS merupakan gabungan yang melibatkan tujuh parti tempatan dan perkara berkaitan kerjasama menjelang pilihan raya belum lagi dibincangkan kerana pilihan raya akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.

Pada masa ini, kerajaan yang diterajui oleh GRS mahu memberi fokus kepada usaha membangunkan negeri dan menyelesaikan masalah rakyat seperti masalah bekalan air dan elektrik, itu lebih utama.
Mengulas lanjut katanya, beliau ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri hari ini adalah kerajaan yang diterajui oleh GRS dan PH.

“Maka, kita amat berterima kasih kepada PH,” katanya.

Pada Ahad lalu, Teck Lee menyatakan GRS harus bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN akan datang.

Katanya, GRS tidak perlu berbincang dengan mana-mana parti lain yang ingin menjadi rakan kerjasama pada pilihan raya kerana parti nasional tidak sepatutnya bertanding di peringkat negeri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN