Kerajaan jamin dasar kutipan cukai tidak bebankan rakyat - PM

Kerajaan jamin dasar kutipan cukai tidak bebankan rakyat – PM

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan melaksanakan dasar kutipan cukai yang membebankan rakyat.

Perdana Menteri menjelaskan, ia prinsip yang perlu diterapkan kerajaan seperti yang disyorkan beberapa ilmuan terdahulu termasuk Ibnu Khaldun dalam bukunya, Mukadimah mengenai kaedah kutipan cukai.

“Ia jelas memperkatakan bahawa cukai adalah perlu tetapi jangan kenakan cukai melampau dan ia tidak boleh sama sekali dilihat sebagai cukai yang membebankan rakyat. Saya fikir prinsip ini mesti kita terapkan.

“Jadi, beberapa perubahan yang perlu kita lakukan termasuk Bajet 2024 akan dibentuk dengan jelas berdasarkan prinsip yang kukuh..cukai hanya apabila perlu dan ia tidak boleh dilihat sebagai beban kepada orang ramai dan komuniti perniagaan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2023 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Institut Percukaian Malaysia (CTIM).

Katanya, dengan dasar cukai yang jelas, kerajaan berhasrat untuk memastikan pelabur asing dan domestik melihatnya sebagai peluang untuk bekerjasama dari sudut perniagaan yang akan memberi ganjaran kepada mereka.

“Pada masa yang sama, ia untuk menyemai rasa tanggungjawab, konsisten dengan konsep Madani, yang mempunyai peranan dalam keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Justeru, beliau terbuka dengan sebarang pandangan tentang keperluan untuk melakukan pembaharuan dan perubahan terhadap dasar percukaian negara.

“Saya akan mendapatkan cadangan dan input dari LHDN bagaimana untuk melaksanakan atau melaraskan beberapa dasar atau langkah percukaian baharu dengan berkesan.

“Juga menerima prinsip bahawa bagi negara kita, dasar kita adalah untuk mengenakan cukai apabila ia benar-benar perlu dan ia tidak boleh dianggap sebagai beban kepada pembayar cukai,” katanya.

Tambahnya, apa yang lebih penting, beliau berhasrat untuk menggalakkan pembayar cukai untuk menjadi lebih produktif dan menyumbang kepada negara.

“Tetapi seperti yang kita tahu, meningkatkan ekonomi dengan cita-cita sedemikian dan membantu kepada kebajikan golongan yang memerlukan dan terpinggir, institusi dan agensi percukaian mestilah sangat cekap, bersih berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN