Kerajaan digesa tunai janji naik gaji penjawat awam   - Utusan Malaysia

Kerajaan digesa tunai janji naik gaji penjawat awam  

ADNAN Mat (enam dari kiri) bergambar bersama penjawat awam Terengganu selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Penjawat Awam dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menunaikan janji menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam melalui Belanjawan Madani 2024 pada Oktober ini walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).   

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kenaikan gaji buat sementara waktu sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun diselesaikan tahun depan seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum PRN lalu.

Menurutnya, pihak Cuepacs yakin kerajaan mampu meningkatkan gaji penjawat awam setelah keputusan tersebut diumumkan sebelum ini.

“Untuk melaksanakannya (kenaikan gaji) walaupun keputusan pilihan raya negeri, sama ada dilihat positif atau negatif, itu tajuk (perkara) yang lain. Bagi penjawat awam, tajuk kami ialah majikan adalah kerajaan, kerajaan adalah majikan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2023 di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan Madani 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.

Beliau berkata, gaji penjawat awam yang menjadi tunjang utama kerajaan itu sepatutnya telah dinaikkan dua tahun lalu, namun kerajaan ketika itu tidak melaksanakannya termasuk melakukan kajian mengenai skim gaji dan persaraan golongan itu.

Adnan berkata, beliau juga menyelar tindakan segelintir pihak yang berpandangan kerajaan tidak perlu menaikkan gaji penjawat awam berikutan keputusan PRN tersebut.

Menurutnya, kerajaan tidak wajar mengikut pandangan serong dan tidak berperlembagaan  pihak terbabit  kerana kerajaan merupakan majikan penjawat awam.

“Kenyataan itu satu pandangan serong, satu pandangan yang tidak berperlembagaan kerana sebagai anggota penjawat awam, kita telah menjalankan tugas kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya