Keputusan rayuan batal Parlimen Segamat 18 Ogos

Keputusan rayuan batal Parlimen Segamat 18 Ogos

M Ramasamy bersama Muhammad Shafee Abdullah ketika hadir mendengar rayuan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Segamat di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 18 Ogos ini bagi mengumumkan keputusan rayuan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Segamat, Tan Sri M Ramasamy untuk membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Segamat dari Pakatan Harapan (PH), R Yuneswaran.

Pada prosiding rayuan hari ini, peguam bela Ramasamy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Yuneswaran didakwa memberi makanan kepada pengundi bagi mempengaruhi untuk memilihnya pada Pilihan Raya Umum lalu.

Menurutnya, atas sebab itu, Yuneswaran melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Malah, beliau (Yuneswaran) boleh dihukum mengikut Seksyen 11(1)b sekali gus membatalkan kemenangan Yuneswaran di kerusi terbabit,” katanya.

Hujah itu dikemukakan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Zabariah Mohd. Yusof selain turut disertai Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Sebelum ini, Ramasamy memfailkan notis rayuan pada 14 April lalu, dengan Yuneswaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Segamat dinamakan responden.

Pada 3 April lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Muar Radzi Abdul Hamid, menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Ramasamy selepas mendapati petisyen yang difailkan pada Januari lalu, adalah cacat dan tidak menepati keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sehubungan itu, mahkamah mengekalkan kemenangan Yuneswaran, selain mengarahkan Ramasamy membayar kos sebanyak RM30,000.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Suzana Atan berkata, Ramasamy gagal menyatakan fakta dan butiran aktiviti yang tidak dibenarkan serta menyalahi undang-undang.

Pada pilihan raya umum November lalu, Yuneswaran memenangi kerusi Parlime Segamat dengan 5,669 undi mengatasi Ramasamy dan dua calon lain.

Menerusi petisyen pilihan raya, Ramasamy mendakwa bahawa Yuneswaran merasuah pengundi dengan memberi makanan ketika satu acara di tokong Cina di Johor bertujuan mempengaruhi pengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya