PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendesak Peguam Negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap kepimpinan PN termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar ditarik semula.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan empat pertuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan kezaliman dan dendam politik kesumat kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang sengaja mencipta fitnah dan mengadakan pertuduhan serta menyalahgunakan kuasa bagi mendakwa pemimpin PN.
Katanya, mahkamah bukan sahaja memutuskan bahawa pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu sebagai cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah, tetapi juga merupakan kesalahan penggunaan proses mahkamah.
“Dengan kezaliman ini, referendum rakyat yang ditunjukkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri pada Sabtu lalu perlu diterjemahkan dengan menolak kerajaan PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini.
“Kezaliman ini perlu dihentikan dan saya juga memulakan tindakan undang-undang bagi menyaman kerajaan Malaysia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saya juga mendesak Peguam Negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan PN untuk tujuan ditarik balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dihadapi Muhyiddin dan bermakna beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas berpuas hati, keempat-empat pertuduhan adalah cacat, tidak berasas dan kabur.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 75, didakwa di ibu negara atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik Bersatu.
Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn. Bhd. juga bagi milik parti itu.
Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19.5 juta daripada syarikat Mamfor. Sdn. Bhd. bagi milik partinya.
Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12 juta bagi milik partinya daripada Datuk Azman Yusoff.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.-UTUSAN










