Kempen, ceramah politik di Terengganu malam ini ditangguhkan - Utusan Malaysia

Kempen, ceramah politik di Terengganu malam ini ditangguhkan

AHMAD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Semua program kempen, ceramah dan himpunan parti-parti politik  di negeri ini yang dijadualkan pada malam ini ditangguhkan serta-merta.

Keputusan itu dibuat bagi menzahirkan rasa sedih dan takziah terhadap kemangkatan  bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu, Fatimah @ Sharifah Nong AlSagoff Abdillah, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata semua calon telah dimaklumkan mengenai keputusan itu sebagai tanda kesedihan rakyat jelata terhadap kemangkatan tersebut.

“Petang tadi baru selesai istiadat pemakaman, jadi kita rasa sesuai untuk batalkan semua acara yang telah dijadualkan.

“Bagaimanapun, semua program ceramah dan kempen akan diteruskan seperti biasa esok tanpa ada sebarang aktiviti hiburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir di Majlis Ramah Mesra Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Pulau Warisan, di sini, malam ini..

Sementara itu, Urusetia Jabatan Penerangan Pas Negeri Terengganu pula memaklumkan pihaknya turut menangguhkan semua kempen dan himpunan malam ini.

“Marilah kita mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Almarhum yang juga bonda kepada Sultan Mizan Zainal Abidin mangkat di Kuala Lumpur pada pukul 3.17 pagi tadi.

Jenazah Almarhum telah dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, petang tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya