PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah filem, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri berpendapat kemenangan Altimet di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya merupakan sebuah petanda yang baik.
Bagi Ahmad Idham, senario ini menunjukkan golongan selebriti lebih berani menyuarakan pendapat dan tidak lagi dimomokkan dengan hilang tawaran pekerjaan gara-gara lantang menyuarakan fahaman politik.
“Sebelum Altimet, kita ada Dira Abu Zahar yang pernah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri Rim, dua tahun lalu. Beberapa tahun belakangan ini kita dapat melihat keberanian para artis tampil memperjuangkan sesuatu isu demi tanah air.
“Selain itu, kesedaran agama juga sudah semakin kuat. Mereka tahu rezeki datang daripada Allah. Tiada lagi ketakutan sekiranya pekerjaan mereka tersekat kerana menyuarakan sokongan politik mereka.
“Lagipula sekarang ini kita tidak ada satu parti politik yang sangat dominan. Ada beberapa negeri yang ditadbir oleh parti politik berbeza. Jadi apa nak takut?,” katanya.
Menghurai lebih lanjut mengenai perkara ini, penerbit Cinderella itu berpendapat sikap selebriti terhadap politik berubah kerana didorong oleh beberapa faktor khususnya ledakan maklumat menerusi platform media sosial.
“Selebriti sejak dulu adalah insan yang sangat dekat dengan masyarakat. Hubungan rapat antara peminat dan selebriti membuatkan timbul kesedaran dalam kalangan artis untuk bersuara menerusi platform politik demi peminat mereka.
“Lagipula disebabkan pengaruh selebriti ini, mereka sudah bertahun-tahun digunakan ahli politik semasa kampen. Sekarang mungkin mereka sudah tidak mahu lagi diperguna, mereka tahu kekuatan yang mereka ada,” tambahnya.