Kelebihan PH di Pulai, Simpang Jeram dijangka sengit

Kelebihan PH di Pulai, Simpang Jeram dijangka sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan bermula secara rasmi selepas hari penamaan calon.

Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mengumumkan nama calon masing-masing untuk bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

PH diwakili bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat di kerusi Parlimen Pulai, manakala bekas pegawai di Majlis Perbandaran Muar (MPM) Ir. Nazri Abdul Rahman di kerusi Simpang Jeram.

PN pula mencalonkan seorang usahawan, Zulkifli Jaafar di Parlimen Pulai dan Dr. Mohd. Mazri Yahya di Simpang Jeram.

Namun, kedua-dua PRK tersebut dilihat ‘kurang meriah’ tanpa kehadiran parti-parti lain, khususnya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahupun Parti Pejuang Tanah­air (Pejuang).

Hasrat Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi untuk bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Pulai boleh menambah seri persaingan tersebut.

Namun, berdasarkan rekod keputusan pilihan raya sebelum ini, agak sukar bagi calon Bebas memenangi kerusi yang ditan­dingi mereka.

Di atas kertas, calon PH dilihat tidak menghadapi masalah kekalkan kerusi Parlimen Pulai.

Apatah lagi, PH-BN kini sudah bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. Malah, jika digabungkan jumlah undi yang diperoleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebanyak 64,900 undi dan lawannya, Datuk Nur Jazlan yang mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), iaitu 31,726 undi, calon PH mampu menang dengan majoriti lebih besar. Calon PN, Loh Kah Yong pula mendapat 20,677 undi.

Namun, gelombang penolakan orang Melayu terhadap UMNO pada masa ini, mungkin menjejaskan sedikit sokongan kepada calon gabungan parti tersebut.

Walau bagaimanapun, Suhaizan yang juga bekas Setiausaha Politik Salahuddin tetap dianggap favourite kerana lebih dikenali oleh para pengundi Pulai berbanding Zulkifli yang pertama kali bertanding.

Namun, senario di DUN Simpang Jeram dianggap lebih menarik kerana persaingan lebih sengit dijangkakan di kerusi tersebut antara Nazri dan Dr. Mohd. Mazri.

Kedua-dua calon dilihat ada peluang memenangi kerusi ini, namun PH mempunyai sedikit kelebihan untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Ini kerana faktor calon yang mungkin sudah dikenali dan dekat dengan masyarakat ke­rana merupakan bekas pegawai MPM.

Malah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarham Salahuddin berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,399 undi, menewaskan calon Pas, Zarul Salleh, Datuk Lokman Md. Don (BN) dan Mahaizal Mahmor (Pejuang).

Dengan gabungan dalam PH-BN, sokongan terhadap calon PH dijangka turut meningkat.

Walau bagaimanapun, pelbagai faktor akan mempengaruhi undi dan sokongan pengundi di kedua-dua kawasan tersebut, khususnya faktor calon yang diyakini mampu mewakili suara rakyat.

Parlimen Pulai mempunyai seramai 166,653 pengundi, manakala DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 pengundi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN