Kelantan amal pendekatan matang, sejahtera dengan Persekutuan

Kelantan amal pendekatan matang, sejahtera dengan Persekutuan

MOHD. Nassuruddin Daud meletakkan ibu jari sebagai simbolik memulakan tugas sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, semalam-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengambil pendekatan matang dan sejahtera dengan Persekutuan dalam mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan dengan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang baharu mengangkat sumpah untuk jawatan itu semalam berkata, pendekatan itu bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini terus terpelihara.

Menurutnya, konsep tersebut selari dengan semangat federalisme antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, saya mengharapkan sokongan dan dokongan penuh daripada semua pihak untuk sama-sama untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Selain itu, saya juga akan meneruskan legasi Membangun Bersama Islam (MBI) yang menjadi dasar pentadbiran Kerajaan Kelantan sebelum ini,” katanya semasa sidang media di Kota Darulnaim di sini semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti melaporkan diri bagi memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, Dasar Membangun Bersama Islam yang diamalkan sebelum ini telah terbukti berkesan dalam meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran, kemakmuran negeri dan kebajikan rakyat.

Katanya, pada masa sama beliau mahu Menteri Besar untuk semua rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang kaum dan sebagainya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) menang 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Kemenangan itu menyaksikan PN Kelantan membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

Sementara itu, Mohd. Nassuruddin memberi bayangan berkemungkinan berlaku perubahan di dalam portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) penggal ini.

“Buat masa ini kita (Kerajaan Kelantan) sedang menyusun perkara itu. Hal ini kerana, kita baharu sahaja selesai proses pelantikan,” katanya semasa sidang media selepas melapor diri pada hari pertama sebagai Menteri Besar di Kompleks Darulnaim di sini, semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seramai lima muka baharu yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu mengangkat sumpah jawatan Exco kerajaan

Muka baharu itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, Mohd. Asri Mat Daud (Demit),  Zamakhshari Mohamad (Apam Putra), Hilmi Abdullah (Guchil) dan wakil tunggal dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Kamaruddin Md. Noor (Air Lanas).

Sementara itu, empat muka lama yang masih lagi dikekalkan untuk sebagai Exco ialah Datuk Md. Anizam Abdul Rahman Kemahang), Datuk Dr. Izani Husin (Kijang), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Selising ) dan Wan Roslan Wan Hamat dan (Pengkalan Kubor). – UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN