KUALA LUMPUR: Stigma dalam masyarakat yang masih menebal menyebabkan kebolehpasaran graduan orang kurang upaya (OKU) rendah berbanding graduan biasa yang mencatat status pencapaian sehingga lebih 90 peratus.
Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, perkara tersebut menyebabkan graduan OKU sukar mendapat kerja.
Kata beliau, sebahagian graduan OKU terpaksa bekerja sendiri selepas tamat pengajian kerana kurangnya penerimaan mereka untuk bekerja daripada pihak industri terutama sektor-sektor swasta.
“Jika kita lihat polisi satu peratus warga OKU bekerja dalam perkhidmatan awam, polisi ini sudah berusia lebih dari 30 tahun tetapi sehingga sekarang satu peratus tu pun sukar untuk penuhi.
“Bagaimana pula dengan sektor swasta? Jadi boleh dikatakan kebolehpasaran bagi graduan OKU sangat rendah. Sektor swasta ni memikirkan keuntungan dan graduan daripada kumpulan tersebut mungkin dipandang seperti ‘penghalang’ untuk mencapai sasarannya.
“Jadi kita didik graduan OKU untuk bekerja sendiri, menjadi usahawan dan sebagainya. Ini beberapa agensi bantu lakukan. Contohnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ada mengeluarkan geran untuk OKU menjadi usahawan tani,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, status pencapaian kebolehpasaran bagi graduan dari semua universiti awam (UA) pada tahun lalu mencecah 92.8 peratus manakala graduan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) 85.5 peratus.
Peratusan tersebut dikatakan menunjuk bahawa program dan kursus ditawarkan semua pusat pengajian tinggi negara ini selaras dengan keperluan industri sehingga kebolehpasaran graduan yang dilahirkan optimum.
Dr. Hasnah berkata, stigma tersebut perlu dihakis bagi memastikan graduan-graduan OKU dapat memiliki peluang sama seperti graduan biasa, yang mana mereka turut melalui tempoh pengajian dan cabaran sama.
“Walaupun kita dapat lihat daripada institusi pengajian tinggi (IPT) ni untuk jadikan graduan OKU mempunyai kebolehpasaran tetapi perlu juga usaha daripada pihak industri dipertingkatkan supaya matlamat tersebut tercapai.
“Stigma masyarakat terhadap kumpulan OKU amat sukar untuk kita kikis, jadi semua pihak perlu memainkan peranan supaya graduan-graduan dari kumpulan tersebut turut mendapat peluang sama,” katanya. – UTUSAN










