Kebergantungan teknologi digital punca manusia 'diperalat'

Kebergantungan teknologi digital punca manusia ‘diperalat’

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan ucaptama bertajuk Pendigital Keluarga Dunia Untuk Keamanan Sejagat di Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) Bangkok, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebergantungan terhadap teknologi digital masa kini mewujudkan kebimbangan bahawa ia bukan lagi suatu alat, sebaliknya sedang memperalatkan manusia termasuk mengubah cara membina identiti seperti kemurungan, polarisasi politik dan peningkatan konflik peribadi.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inovasi yang berkembang pesat di seluruh dunia menyebabkan manusia bergantung kepada teknologi digital kerana mudah diakses pada bila-bila masa hanya melalui telefon pintar

Katanya, kebergantungan itu mewujudkan tiga perkara yang menyebabkan teknologi digital dilihat seperti sedang memperalatkan manusia iaitu ia umpama penggalak kepada peningkatan dopamin dengan rasa keterujaan berlebihan sekali gus mengakibatkan ketagihan.

Selain itu, katanya, ia mempengaruhi cara manusia menilai dengan membina gelembung tapisan bersama rakan yang mempunyai minat sama sahaja.

“Sebagai contoh, Facebook atau Instagram hanya memaparkan bahan di wall berdasarkan carian atau tanda ‘like’ pengguna.  

“Terakhir, ia mengubah cara untuk membina identiti diri seperti kemurungan, polarisasi politik dan peningkatan konflik antara peribadi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Pendigital Keluarga Dunia Untuk Keamanan Sejagat di Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) Bangkok, Thailand, hari ini.

Beliau berkata, tanpa sedar teknologi digital sedang memperalat kehidupan manusia untuk kebaikan dan keburukan. 

Justeru, beliau berpendapat bahawa perlu ada keseimbangan terhadap kemajuan teknologi dalam sektor industri dan juga corak kehidupan masyarakat. 

“Langkah Kerajaan Jepun memperkenalkan konsep Society 5.0 pada tahun 2015 yang memberi penekanan supaya manusia yang mengawal teknologi digital wajar dicontohi. Society 5.0 akan mengimbangi antara pembangunan ekonomi dan mengatasi masalah sosial.

“Usaha perlu dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan teknologi digital digunakan bagi mempromosikan keamanan sejagat,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, ledakan teknologi digital memudahkan pengumpulan data seperti data raya  yang merupakan tren masa kini. 

Menurutnya, analisis sentimen awam terhadap data besar dapat membantu untuk membuat keputusan yang berkesan. 

“Banyak pihak telah menggunakan algoritma media sosial seperti Facebook untuk mencerap sentimen semasa masyarakat. 

“Komunikasi strategik amat diperlukan untuk menyampaikan mesej keamanan kepada lebih ramai orang atau berbeza kelompok individu melalui pelbagai platform digital berdasarkan data-data yang dianalisis. Tindakan segera perlu diambil bagi menangani kesan negatif daripada teknologi digital.

“Bagaimanapun usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan. Kerajaan, syarikat teknologi, penyelidik dan masyarakat sivil perlu duduk bersama berbincang untuk menyediakan ruang siber yang selamat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN