Menginap di rumah pokok Surak Hyu, teroka suasana hutan Seoul

Menginap di rumah pokok Surak Hyu, teroka suasana hutan Seoul

PENGINAPAN Surak Hyu terletak dalam hkawasan hutan di daerah Nowon di Seoul. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI fantasi zaman kecil ke dunia moden yang mendamaikan, rumah pokok Surak Hyu di Seoul bukan lagi sekadar tempat mainan kanak-kanak, tetapi kini menjadi lokasi percutian eksklusif buat golongan dewasa yang ingin lari daripada hiruk-pikuk kota.

Terletak di utara Seoul, Korea Selatan, Surak Hyu muncul sebagai destinasi percutian hutan baharu yang menggabungkan keindahan alam, seni bina moden dan ketenangan luar biasa, hanya beberapa minit dari stesen tren bandar Buramsan.

Kabin bertingkat di dalam ini dibuka secara rasmi di daerah Nowon pada 17 Julai lalu.

Walaupun masih baharu, sambutan terhadap Surak Hyu cukup luar biasa.

Semasa sesi ujian tempahan awal pada Jun, semua bilik untuk bulan Julai habis ditempah dalam masa tiga minit sahaja.

Pusingan tempahan untuk Ogos pula tidak mengambil masa lebih daripada empat minit sebelum ditutup sepenuhnya.

Terletak di lereng Gunung Surak dalam hutan seluas 9,800 meter persegi, Surak Hyu merupakan hasil pelaburan selama lapan tahun bernilai 21.37 bilion won (RM65 juta) oleh Pejabat Daerah Nowon.
Ia menempatkan 25 bilik dalam 18 bangunan, mampu menerima sehingga 105 tetamu dalam satu masa.

Namun, pilihan paling eksklusif dan menjadi rebutan ramai sudah tentu tiga buah rumah pokok yang dibina di atas rangka keluli setinggi 12 hingga 14 meter, seolah-olah terapung di celah ranting dan dedaunan hijau.

Harga semalam untuk rumah pokok ini mencecah 250,000 won (RM764) pada musim puncak, manakala bilik lain yang lebih standard bermula daripada 70,000 won hingga 150,000 won (RM214 hingga RM458).

Tangga curam membawa pengunjung ke pintu masuk rumah pokok, yang terbuka ke arah tingkap besar dari lantai ke siling, seakan bingkai lukisan alam semula jadi.

Tingkap langit berbentuk bulat pula membolehkan bunyi dedaunan dan ‘aroma hutan’ menyusup masuk ke dalam bilik, tanpa perlu membuka tingkap sepenuhnya.

Balkoni peribadi turut tersedia, untuk menikmati udara segar dan kehijauan yang mendamaikan.

Bahagian dalam rumah pokok dibina dengan panel kayu, mewujudkan suasana desa yang hangat sementara reka bentuk dua tingkat dilengkapi loteng comel dengan katil untuk dua orang serta meja sisi.

“Silingnya yang rendah di bawah dua meter menjadikan ruang loteng terasa seperti tempat persembunyian rahsia di dalam hutan sebenar.

“Tepat tengah malam, langit di atas tingkap dipenuhi cahaya bintang dan bulan. Tanpa pencemaran cahaya, rasanya seperti kami sekeluarga satu-satunya yang tinggal dalam hutan,” kata seorang pengunjung, Lee Hyun Joo, 51, yang menginap awal bulan ini.

Surak Hyu menggalakkan tetamu untuk benar-benar berehat secara ‘analog’.

Tiada televisyen atau komputer disediakan sebaliknya setiap bilik dilengkapi pemain piring hitam dan koleksi muzik yang dipilih khas, sebahagiannya disumbangkan oleh penduduk setempat.

Pelawat juga boleh meminjam buku dan permainan papan dari pusat pelawat.

“Ini bukan sekadar tempat tidur, ia adalah ruang untuk detoks digital dan ketenangan minda,” ujar Hyun Joo.

Kawasan landskap Surak Hyu dibahagikan kepada tiga taman bertema yang memikat iaitu Sky Garden di pintu masuk, Sunshine Garden berhampiran bilik-bilik penginapan serta Starlight Garden yang terletak sekitar rumah pokok.

Pengunjung digalakkan untuk meneroka lebih 70 spesies bunga dan tumbuhan di sekitar kawasan ini serta arca haiwan kayu menarik yang dihasilkan daripada pokok-pokok yang ditebang semasa pembinaan.

Jika bernasib baik, tetamu juga mungkin dapat melihat belalang tempatan berwarna perang, sejenis serangga unik yang menjadi sebahagian daripada ekosistem kawasan tersebut.

Laluan bebas halangan dan bilik mesra kerusi roda turut menjadikan tempat ini inklusif untuk semua.

“Kami mahu mencipta suasana seperti rumah pokok luar negara yang kami kagumi. Walaupun kos binaannya tinggi, kami menggunakan bahan semula jadi dan tingkap besar untuk mengekalkan suasana nyaman dan tenang di hutan,” kata Pegawai Pejabat Daerah Jeong Yoon Kyung. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN