Penduduk tuntut hak tanah Flat KEP dipertahan

Penduduk tuntut hak tanah Flat KEP dipertahan

BANTAHAN besar-besaran projek pembangunan semula Flat Kuchai Entrepreneurs Park di atas lot 32082 dan 32087 mukim Petaling daerah Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk Flat Kuchai Entrepreneurs Park (KEP) mengadakan bantahan terhadap cadangan pembangunan semula kawasan perumahan itu yang didakwa bakal menyebabkan kehilangan tanah kediaman serta peningkatan kos sara hidup dalam satu perhimpunan di Dewan Silaturahim, hari ini.

Wakil penduduk, Nasrun Ismail, 46, berkata, walaupun penduduk hanya memegang hak milik pajakan selama 99 tahun dan sebahagian besar daripada tempoh itu masih berbaki, namun mereka merasakan hak sebagai pemilik asal diketepikan dalam perancangan pembangunan baharu itu.

“Kami bukan menolak pembangunan, tetapi tanah asal yang kami diami sekarang akan jadi seluas padang bola sahaja. Kami hilang lebih daripada tiga per empat tanah. 

“Kalau pihak pemaju buat projek pembangunan seperti konsep superblock dan kekalkan saiz tanah sedia ada, saya percaya ramai penduduk akan bersetuju,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam bantahan projek pembangunan semula Flat KEP, di sini, hari ini. 

Nasrun turut berkata, tawaran pemaju yang menjanjikan penyelenggaraan percuma selama dua tahun juga tidak meyakinkan memandangkan ramai penduduk pada masa ini masih gagal menjelaskan yuran penyelenggaraan yang hanya serendah RM25 sebulan.

“Majoriti kami adalah golongan B40, cukup makan sahaja. Kalau pindah ke kondominium, yuran penyelenggaraan cecah RM300 ke RM400 sebulan. Macam mana nak bayar? Akhirnya rumah akan dilelong macam yang berlaku di Residensi Kerinchi,” katanya.

Dalam masa sama, penduduk turut mempersoalkan ketelusan Ahli Jawatan Kuasa terlibat serta mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalankan audit forensik terhadap akaun kewangan dan pelaksanaan mesyuarat yang didakwa tidak telus sejak tujuh tahun lalu.

“Kami tidak percaya pada semua Ahli Jawatankuasa yang terlibat dan menyokong tanpa berbincang secara telus dengan para penduduk. 

“Duit keluar masuk tidak pernah dibentangkan kepada penduduk. Kami desak SPRM dan LHDN buat audit forensik terhadap akaun tempoh tujuh tahun ke belakang.

“Kami nak tahu siapa yang terlibat, siapa yang guna kuasa untuk buat keputusan tanpa pengetahuan semua penduduk. Perlu siasat betul-betul kerana ini bukan soal rumah sahaja, tapi tanah kami yang hilang,” katanya.

Sementara itu, seorang kerani dan warga Flat KEP, yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 50, berkata, dia sudah selesa menetap di kawasan itu sejak lebih tiga dekad lalu memandangkan kawasan tersebut lengkap dengan pelbagai kemudahan asas.

“Saya duduk sini sudah 30 tahun. Jalan kaki ke MRT pun tak sampai sepuluh minit. Ada pusat beli-belah. Kalau pindah, siapa nak tanggung kos? Saya duduk dengan ibu yang uzur, saya sendiri kerja biasa dan bukan orang kaya,” katanya.

Dimaklumkan bahawa penduduk Flat KEP diberikan pajakan selama 99 tahun dan telah mendiami kawasan itu lebih 30 tahun. 

Kini, cadangan pembangunan semula oleh pemaju swasta mencetuskan bantahan kerana didakwa menyebabkan kehilangan tanah, peningkatan kos sara hidup serta proses rundingan yang tidak telus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN