Kastam rampas 88kg kokain RM17.6 juta di KLIA

Kastam rampas 88kg kokain RM17.6 juta di KLIA

Selain maklumat risikan, penggunaan mesin pengimbas 3D juga dapat membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengekang penyeludupan di pintu masuk negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan modus operandi mengikrarkan barang dagangan sebagai suplemen tumpas menerusi rampasan kokain seberat 88 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM17.6 juta pada 1 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, sindiket tersebut ditumpaskan menerusi serbuan pada pukul 8 malam dan anggotanya menyita empat buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kotak itu mengandungi botol kaca yang turut mengandungi kapsul disyaki dadah berbahaya jenis kokain dengan berat kasar 88kg dan nilai rampasan sebanyak RM17.6 juta.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat alat ganti kenderaan iaitu brek cakera kereta di dalam setiap kotak.

“Modus operandi yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan dagangan sebagai suplemen sedangkan di dalamnya terdapat botol kaca yang mengandungi dadah berbahaya dan alat ganti kenderaan. Sindiket juga menggunakan nama syarikat palsu sebagai syarikat penerima di dalam waybil udara.

“Siasatan awal mendapati dagangan tersebut diimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir. Siasatan juga mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan dan ini menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.

“Bagaimanapun siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek berkemungkinan warga tempatan kerana destinasi terakhir adalah di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat di Kampung Jijan, Nilai di sini, semalam.

Pada 22 Julai lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas lebih 250kg dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin yang keseluruhannya bernilai RM18.2 juta di Kompleks Kargo Udara KLIA.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, JKDM menyita 18 kotak dengan 12 daripadanya mengandungi bungkusan plastik lutsinar dengan bahan ketulan kristal disyaki MDMA seberat 232.05 g dianggarkan bernilai RM17 juta.
Ia adalah penemuan terbesar kastam membabitkan MDMA, dengan jumlah berkenaan boleh menghasilkan kira-kira 1.5 tan metrik ekstasi.
Sementara itu, Zazuli berkata, secara keseluruhan kes dadah yang diperoleh JKDM untuk tahun ini sehingga bulan Julai lalu adalah melibatkan sebanyak 382 kes dengan nilai RM180.502 juta.

“Nilai kes yang tertinggi adalah jenis ekstasi sebanyak 11 kes berjumlah RM96.19 juta diikuti kokain bernilai RM61.64 juta dan methamphetamine sebanyak RM10.5 juta,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN