Kastam perlu pengimbas 3D kekang seludup dadah

Kastam perlu pengimbas 3D kekang seludup dadah

Selain maklumat risikan, penggunaan mesin pengimbas 3D juga dapat membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengekang penyeludupan di pintu masuk negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memerlukan mesin pengimbas berteknologi 3D dalam meningkatkan lagi kawalan keselamatan di pintu masuk negara khususnya bagi mengekang isu penyeludupan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, rata-rata mesin pengimbas yang diguna pakai jabatan itu sudah berusia lebih 15 tahun yang teknologinya juga sudah jauh ketinggalan.

“Kebanyakan negara di dunia sekarang sudah menggunakan mesin pengimbas menggunakan teknologi 3D namun rata-rata mesin pengimbas yang digunakan JKDM adalah berteknologi 1D dan 2D sahaja.

“Namun ada juga beberapa Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) seperti di Johor Bahru sudah menggunakan mesin pengimbas berteknologi 3D,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, JKDM dalam proses mendapatkan mesin pengimbas yang menggunakan teknologi 3D bagi mengekang aktiviti penyeludupan terutamanya dadah.

Namun, tegas beliau, kekurangan itu tidak mematahkan semangat JKDM untuk terus menjadi petugas barisan hadapan dalam mengawal pintu masuk negara daripada ‘diceroboh’ penyeludup sekali gus mengakibatkan kerugian kepada Malaysia.

“Bergantung kepada mesin pengimbas saja sukar, tetapi pasukan risikan JKDM memainkan peranan penting untuk mengesan sebarang aktiviti penyeludupan sekali gus mengekangnya,” katanya.

Terbaharu, JKDM merampas 88 kilogram dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM17.6 juta menerusi serbuan di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 1 Ogos lepas.

Menurut Zazuli, dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam itu, sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita empat unit kotak mengandungi 995 botol kaca yang di dalamnya terdapat kapsul disyaki kokain.

Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim senada dengan Zazuli dan menggesa kerajaan menyediakan aset-aset berteknologi tinggi kepada petugas barisan hadapan seperti JKDM untuk mengekang aktiviti penyeludupan di pintu masuk negara.

Jelasnya, segala jenis aktiviti penyeludupan perlu dikekang secara serius supaya negara tidak menjadi ‘lubuk’ sasaran penjenayah rentas sempadan.

“Penjenayah rentas sempadan ini bukan baharu dalam aktiviti penyeludupan, mereka akan buat apa saja untuk membolosi pintu masuk dengan termasuk dengan menukar modus operandinya.

“Jadi sekiranya, JDKM disediakan dengan peralatan seperti mesin pengimbas berteknologi tinggi ia sekali gus akan membantu memudahkan mereka mengekang aktiviti tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN