Kaum Cina hilang kepercayaan terhadap DAP?

Kaum Cina hilang kepercayaan terhadap DAP?

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi isyarat bahawa sebahagian pengundi yang selama ini menjadi asas sokongan DAP mula menilai semula pilihan politik mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAP kini berdepan cabaran besar apabila sokongan masyarakat Cina, khususnya kelompok pengundi tradisinya, dilihat semakin terhakis. Perubahan sokongan ini bukan sekadar persepsi politik, sebaliknya dapat dilihat melalui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila DAP mengalami kekalahan di beberapa kawasan yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuatnya.

Kejutan terbesar berlaku apabila lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu, khususnya kawasan dengan komposisi masyarakat Cina melebihi 50 peratus, berpindah tangan kepada Barisan Nasional (BN) melalui MCA dan MIC. Keputusan tersebut memberi isyarat sebahagian pengundi yang selama ini menjadi asas sokongan DAP mula menilai semula pilihan politik mereka.

Situasi itu memberi tekanan kepada DAP untuk mencari pendekatan baharu bagi mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya menjelang PRN Negeri Sembilan. Dalam perkembangan berkaitan, DAP Melaka mengambil tanggungjawab politik dengan memutuskan untuk keluar daripada kerajaan negeri, walaupun masih berada dalam kerangka Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan.

Namun, keputusan tersebut menimbulkan persoalan kerana langkah itu dibuat hanya berkaitan isu pelantikan wakil rakyat tambahan oleh kerajaan negeri. Tindakan tersebut dilihat oleh sesetengah pihak sebagai kurang seimbang berbanding cabaran lebih besar yang sedang dihadapi parti, iaitu krisis kepercayaan dalam kalangan pengundi sendiri.

Jika DAP Melaka benar-benar mahu membina semula keyakinan masyarakat Cina, tindakan yang lebih konsisten perlu dilakukan. Mereka sewajarnya menggesa kepimpinan tertinggi parti mengambil langkah serupa di peringkat Kerajaan Persekutuan sebagai tanda kesungguhan menangani isu dalaman dan persepsi rakyat terhadap parti.

Malah, DAP Melaka boleh mencadangkan supaya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mengadakan mesyuarat perwakilan luar biasa bagi membincangkan hala tuju parti dalam menghadapi perubahan sokongan pengundi.

Persoalannya kini, adakah pendekatan yang sama akan diambil oleh DAP Negeri Sembilan sebelum hari pengundian pada 1 Ogos 2026? Adakah parti itu akan mengambil langkah yang lebih tegas untuk membuktikan komitmen memulihkan keyakinan rakyat atau terus bergantung kepada formula politik sedia ada?

DAP perlu memahami sokongan rakyat bukan sesuatu yang kekal. Kepercayaan perlu dibina semula melalui tindakan yang meyakinkan, bukan sekadar kenyataan politik. –UTUSAN

 

RAHMAD ISAHAK, Bekas ahli DAP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN