Kastam Perlis rampas 35 kilogram syabu, bernilai RM1.15 juta - Utusan Malaysia

Kastam Perlis rampas 35 kilogram syabu, bernilai RM1.15 juta

ISMAIL Hashim (duduk, tiga dari kiri) menjawab pertanyaan pemberita sewaktu sidang media yang berlangsung di Pejabat JKDM Padang Besar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas dadah jenis syabu seberat 35 kilogram dalam Operasi Mekong Dragon yang dilaksanakan di sekitar Kuala Perlis pada 4 Ogos lalu.

Menerusi rampasan pada pukul 7.30 malam itu, semua dadah terlibat dianggarkan bernilai RM1.15 juta dan boleh menampung permintaan buat 174,600 orang penagih.

Pengarah Kastam Negeri, Ismail Hashim berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil daripada risikan yang dilakukan oleh pasukan operasi Unit Narkotik JKDM Padang Besar.

“Pihak kami mendapat maklumat bahawa bekalan dadah akan mendarat di tepi kawasan perairan sungai di lokasi itu dan anggota JKDM turut melakukan pemantauan selama satu jam bagi menanti suspek mengambil dadah yang ditinggalkan itu.

“Bagaimanapun suspek terlibat tidak munculkan diri dan dadah berkenaan turut dirampas bagi siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Padang Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, dadah berkenaan ditemukan di dalam guni beras di mana terkandung bungkusan paket keemasan teh cina berjenama ‘Guanyinwang’.

Menurutnya, modus operandi kegiatan pengedaran ini dipercayai dengan cuba membawa masuk dadah dari negara jiran melalui jalan laut menggunakan sampan kecil bagi menggelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Dadah yang cuba diseludup ini dipercayai untuk pasaran sekitar kawasan utara tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kes berkenaan akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, Unit Narkotik JKDM Padang Besar telah digerakkan bagi melipat gandakan usaha dalam menjejaki sindiket yang terlibat dalam penyeludupan dadah ke negara ini.

“Melalui operasi ini, JKDM berharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pendirian tegas kami dalam memerangi isu penyeludupan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya