IPOH: Sebuah kampung di Tasek di sini, dinamakan Kampung SC atau Kampung Special Constables sempena sejarah kampung itu yang dianugerahkan kepada mereka yang pernah menganggotai pasukan Special Constables, iaitu barisan hadapan dalam menghadapi ancaman komunis.
Kampung SC atau juga dikenali Kampung Kuala Takam dibuka kira-kira awal tahun 1950-an, dengan ketika itu hanya terdapat lima buah rumah yang dibina khas oleh kerajaan untuk anggota Special Constables dan keluarga mereka tinggal di situ.
Sebagai anggota barisan hadapan, anggota Special Constables di kampung itu dilengkapi senjata api bagi tujuan mengawal kampung mereka daripada ancaman komunis.
Pasukan SC ditubuhkan pada tahun 1948 ketika Rancangan Briggs dilaksanakan.
Anggotanya dilatih dan dihantar mengawal Iadang, kawasan lombong dan kawasan kampung dan mereka menjadi barisan hadapan dalam menghadapi ancaman komunis.
Menurut seorang penduduk Kampung SC Tasek, Zainab Ibrahim, 71, dia mula tinggal di kampung itu pada tahun 1954 dan masih ingat keadaan rumah asal yang dibina mirip rumah di kawasan rancangan Felda.
Katanya, ketika itu hanya terdapat lima buah rumah khas untuk anggota SC yang mengawal kawasan kampung itu semasa ancaman komunis berleluasa.
Jelasnya, walaupun kawasan itu merupakan kawasan bandar, namun ancaman komunis tetap ada semasa darurat dikuatkuasakan di seluruh negara.
“Ketika itu penduduk hendak keluar ke pekan Ipoh pun takut. Saya masih ingat ketika itu perintah berkurung dilaksanakan mulai pukul 6 petang hingga pagi, bermakna semua penduduk tidak boleh keluar rumah.
“Semasa perintah berkurung, anggota SC yang dilengkapi senjata berkawal di kawasan kampung ini, jadi dengan kawalan oleh anggota SC, penduduk rasa lebih selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, hari ini semua pemilik asal rumah di Kampung SC itu sudah meninggal dunia dan kini diwarisi anak-anak mereka.
Katanya, rumah asal semuanya sudah diubah suai.
“Kampung ini adalah lambang kepada pengorbanan barisan hadapan ketika negara berdepan ancaman komunis,” katanya. – UTUSAN










