JKKP siasat pekerja maut ditimbus simen - Utusan Malaysia

JKKP siasat pekerja maut ditimbus simen

LOKASI kejadian seorang lelaki warga Bangladesh yang maut selepas ditimbus simen di Chemor, Ipoh kelmarin. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri menyiasat kes seorang pekerja yang maut selepas ditimbus simen dalam kejadian di sebuah kilang di Chemor, kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada pukul 3.15 petang melibatkan pekerja lelaki warga Bangladesh dikenali Roki Md. Jadidur Rahman berusia 26 tahun.

Pengarahnya, Dr. Rabaayah Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja am bagi sebuah syarikat kontraktor yang dilantik untuk membuat kerja pembersihan silo di kilang simen tersebut.

Katanya, semasa kejadian, mangsa bersama dua rakan sekerjanya sedang menjalankan kerja memecahkan simen yang keras pada manhole menggunakan tukul dan rod besi.

“Simen yang berada di dalam silo telah tersembur keluar melalui manhole dan menyebabkan mangsa terjatuh dan ditimbus simen tersebut.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan daripada siasatan yang dijalankan, JKKP telah mengeluarkan satu notis larangan kepada majikan untuk menghentikan kerja-kerja pembersihan silo sehingga tindakan penambahbaikan diambil.

Katanya, JKKP juga akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahu pun orang awam berikutan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan juga bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

Tambah beliau, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya