SEREMBAN: Lokasi perkelahan popular di daerah Jelebu iaitu Taman Eko Rimba Jeram Toi dijangka dibuka semula untuk kunjungan orang ramai pada hujung tahun ini.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, kerja-kerja pembaikan semula Jeram Toi kini sedang rancak dilaksanakan selepas ia musnah dalam kejadian hujan lebat berterusan dan banjir besar pada pertengahan Disember 2021.
“Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kini pada tahap 45 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada November ini. Ia akan dibuka secara berfasa-fasa dan dijangka pada hujung tahun ia boleh dibuka untuk fasa pertama.
“Selepas pembaikan dan pembangunan semula tersebut, konsep Jeram Toi berubah sepenuhnya. Tiada lagi pembinaan dalam Jeram Toi, oleh itu tandas, pejabat dan surau berada di kawasan luar. Pembaikan ini akan menunjukkan keaslian dan keunikan sebenar Jeram Toi,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Saleh berkata, apabila Jeram Toi dibuka semula kelak, pengunjung diharap tidak terkejut dengan keadaan air sungai di kawasan itu yang masih keruh.
“Masih ada banyak runtuhan di bahagian hulu iaitu di Gunung Berembun. Setiap kali hujan, air keruh. Saya bimbang orang ramai salah faham berlakunya kerosakan hutan, tetapi sebenarnya ia kerosakan semula jadi disebabkan bencana dan bukannya aktiviti tidak sihat,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga akan membuka semula trek pendakian Gunung Berembun dan Gunung Telapak Buruk pada awal bulan depan setelah ia ditutup ekoran bencana sama. – UTUSAN











