KUALA LUMPUR: Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah berhasrat menampilkan anak kandungnya, Osama Yamani dan Zaki Yamani semasa konsert yang bakal berlangsung 9 September depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut hanya akan dimuktamadkan selepas pihak penganjur, Shiraz Projects menghubungi syarikat rakaman yang dinaungi mereka.
“Saya sudah maklumkan kepada anak-anak, cuma tunggu pihak Shiraz sahaja yang perlu berurusan dengan syarikat rakaman mereka.
“Kalau konsert saya sendiri yang anjurkan, lebih mudah. Niat itu sudah lama ada (sepentas dengan anak-anak), inshaa-Allah kalau ada rezeki,” katanya semasa sidang akhbar konsert tersebut di lokasi sama, di sini, semalam.
Juara Bintang RTM 1979 itu berkata, dia bersetuju dengan tawaran mengadakan konsert kerana yakin dengan kredibiliti dan kemampuan pihak penganjur.
Katanya, pihak penganjur sudah berpengalaman luas mengadakan pelbagai konsert termasuk mengundang artis-artis antarabangsa.
“Pihak Shiraz sudah menghubungi saya sejak enam bulan lalu dan tiga bulan selepas itu baru kami mengadakan perbincangan.
“Saya terus setuju sebab yakin dengan mereka yang lebih berpengalaman. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar, mana tahu kalau esok tak boleh menyanyi lagi, saya boleh jadi penganjur konsert seperti mereka juga,” jelasnya.
Disoal persiapan dan persediaan menjelang konsert yang berbaki dalam tempoh sebulan sahaja lagi, Jamal berkata, sudah menjadi rutin pada setiap pagi untuk melihat setiap lirik lagu yang akan dipersembahkan.
“Saya sudah mula fokus dengan setiap lagu yang akan dinyanyikan. Saya cetak lirik lagu dan perhatikan pada setiap pagi.
“Walaupun sudah lama menyanyi, tetapi saya cuba untuk menghayati lagu itu sepenuhnya,” kongsi Jamal yang terkenal dengan lagu hits seperti Kekasih Awal dan Akhir, Azura dan Gadis Melayu.
Jualan tiket akan mula dibuka di laman sesawang www.myticket.asia bermula esok dengan tawaran harga bermula RM255 hingga RM995.