Keluarga desak inkues siasat punca kematian Iman Zafran - Utusan Malaysia

Keluarga desak inkues siasat punca kematian Iman Zafran

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada murid darjah empat yang meninggal dunia pada 1 Oktober lalu di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, mendesak supaya satu inkues dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu.

Peguam keluarga Allahyarham, Muhammad Yazid Mohamad Salim berkata, desakan tersebut dibuat selepas lebih sebulan berlalu tanpa sebarang maklum balas rasmi daripada polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) mahupun Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sehingga hari ini, keluarga hanya menerima maklumat daripada pakar patologi yang menjalankan bedah siasat.

“Tiada sebarang penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa lain,” katanya dalam sidang akhbar di Solaris Mont Kiara di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang murid lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa.

Muhammad Yazid berkata, bedah siasat yang dijalankan pada 2 Oktober lalu mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher, namun laporan penuh bedah siasat belum diterima keluarga.

“Doktor memaklumkan kesan sepanjang tiga sentimeter (cm) itu berkemungkinan berpunca daripada kain skarf pengakap yang digunakan.

“Terdapat juga satu lagi kesan berukuran satu cm yang terletak secara simetri di bahagian tepi ke hadapan dengan sedikit putus di bahagian depan.

“Punca sebenar kesan tersebut masih belum dapat dijelaskan,” katanya.

Katanya, pada 15 Oktober lalu, keluarga turut dimaklumkan mengenai beberapa elemen mencurigakan dalam siasatan termasuk catatan dalam buku kelas yang mengandungi mesej berbentuk ugutan terhadap arwah, selain insiden buli dan pergaduhan yang dikatakan pernah berlaku antara Allahyarham dengan beberapa rakan sekelas.

“Kami difahamkan pihak polis turut mengambil sampel tulisan tangan untuk dibandingkan dengan mesej dalam buku tersebut.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan (ugutan melalui komunikasi) sudah memadai atau perlu ditukar kepada Seksyen 302 (membunuh),” katanya.

Tambah beliau, keluarga menghormati siasatan yang dijalankan polis, namun menegaskan perlunya tindakan segera daripada AGC bagi menentukan langkah seterusnya.

“Kami dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya bahawa mereka masih menunggu tarikh untuk membentangkan kes kepada Peguam Negara.

“Kami merayu agar perkara ini disegerakan dan jangan biarkan keluarga terus menunggu tanpa jawapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN