KUALA LUMPUR: Pengacara dan bekas penyampai radio, Hunny Madu melarang anak-anaknya memiliki media sosial terutamanya, TikTok.
Hunny atau nama sebenarnya, Hani Farhana Mohd. Hatim, 39, berkata, cara itu berkesan untuk menyekat pengaruh negatif yang berleluasa dalam platform-platform berkenaan.
“TikTok contohnya, boleh membahayakan sekiranya penggunaannya tidak dikawal. Sebagai orang dewasa, saya tahu menilai baik buruk, tetapi saya tak mampu kawal video yang mereka tonton di media sosial.
“Contoh video dua lelaki bercumbu dan sebagainya. Sebenarnya, tanpa kita sedari, ia boleh mempengaruhi.
“Jadi yang boleh saya buat adalah halang anak-anak saya guna media sosial supaya mereka tidak melihat kandungan tidak senonoh,” katanya.
Hunny berkongsi perkara tersebut ketika ditemui sempena sidang media single terbaru, Rahsia Petua yang dinyanyikan Kmy Kimo, Luca Sickta, Nicole Lai, Psychomantra dan Benzooloo.
Hunny bagaimanapun berkata, dia akan memberi kebebasan kepada anak-anaknya menggunakan media sosial ketika mereka meningkat dewasa kelak.
“Mungkin pada satu tahap, bila mereka tahu menilai baik buruk, saya benarkan (guna media sosial)
“Buat masa ini tidak. Mereka belum mampu menilai dan membuat pilihan yang betul,” jelasnya.
Hunny mendirikan rumah tangga dengan Khairul Azhar Abd. Wahid pada 2010 namun pasangan itu bercerai pada 2018.Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata, Eva Medina dan Adam Musa.
Pada 2020, Hunny berkahwin kali kedua dengan seorang cef kelahiran Itali, Francesco Fedrighi. Mereka dikurniakan seorang anak bernama Celine.