KUALA NERUS: Tradisi gotong-royong memasak bubur asyura masih diteruskan oleh penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading di sini untuk merapatkan lagi hubungan ukhuwah antara mereka.
Hari ini, gotong-royong anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sekati dan Kumpulan Marhaban Taman Perumahan Sakti diceriakan lagi dengan kehadiran calon Barisan Nasional (BN), Omar Adam.
Program yang diadakan di surau taman perumahan Sakti dekat Teluk Pasu, di sini bermula apabila penduduk mula memasak bubur asyura seawal pukul 8.30 pagi dan hidangan tersebut diagihkan kepada kejiranan berhampiran.
Mereka juga membaca akhbar Utusan Malaysia sambil bergotong-royong memasak bubur asyura untuk mengetahui perkembangan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.
Omar yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Sains Komunikasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, Utusan Malaysia adalah wadah pemikiran baharu untuk rakyat yang dahagakan maklumat.-UTUSAN










