KUALA LUMPUR : Mencipta fenomena tersendiri sebagai sebuah acara tahunan yang popular dalam negara, Star Vendor Event Sdn Bhd akan beralih pula ke Johor sebagai lokasi pilihan dengan kerjasama Majestic Johor Festival 2023 anjuran Tourism Johor.
Bertempat di Puteri Harbour , Kota Iskandar, Star Vendor akan mengumpulkan usahawan-usahawan daripada pelbagai sektor seperti fesyen, kecantikan, kesihatan, kembara, makanan , minuman dan sebagainya dalam satu acara penuh kemeriahan.
Menurut Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors, Datuk Saripah Raziah atau Ifa Raziah, matlamat penganjuran ini juga adalah untuk memberi platform yang eksklusif kepada usahawan tempatan dan selebriti tanah air untuk berniaga.
“Majestic Johor Festival 2023 akan bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam pada 26 Ogos hingga 3 September 2023, yang turut menyaksikan kami akan ‘menggegarkan Johor selama sembilan hari berturut-turut.
“Tahun ini juga kami akan tampilkan khas Pasukan JDT sempena ulang tahun penubuhannya ke-10. Selain itu, pengunjung akan diberi peluang untuk menyaksikan Konsert Road Tour Gegar Vaganza yang akan di ditayangkan di Astro.
“Kami amat bebesar hati dengan Tourism Johor yang telah memberi peluang kepada Star Vendors Event Sdn Bhd untuk menguruskan acara untuk tahun ini. Objektif utama acara ini dijalankan adalah untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan keluarga yang mesti dikunjungi,”katanya.
Selain itu, kata Ifa, penglibatan agensi-agensi kerajaan dan juga penglibatan 10 daerah Negeri Johor akan juga membawa pelbagai produk dan perkhidmatan dari daerah masing-masing.
Antara aktiviti menarik yang akan diadakan adalah aktiviti kanak-kanak seperti mewarna, karaoke Star Voice, permainan kanak-kanak dan sebagainya dengan kemasukan adalah secara percuma.
Selain itu, antara tarikan menarik sempena bulan kemerdekaan adalah acara seperti perarakan kemerdekaan dan sambutan kemerdekaan ke-66 yang akan diakhiri dengan pertunjukkan bunga api.
Turut memeriahkan minggu tersebut adalah Hot Air Balloon yang dibawakan oleh Golden Value Ventures Academy secara percuma untuk 160 pengunjung terawal dengan syarat yang ditetapkan.
Selain daripada memberi peluang kepada usahawan tempatan, Majestic Johor Festival 2023 bakal menyaksikan pembabitan 60 artis terkenal tanah air yang turut membuka reruai dan menjual rangkaian produk mereka sendiri.
Antara yang terlibat ialah, Wak Doyok, Datuk Sri Aliff Syukri, Khai Bahar, Sherry Ibrahim, Black Hanifah, Noraniza Idris, Hafiz Suip, Reen Rahim, Nadia Brian, Ramlah Ram dan ramai lagi.
Star Vendor juga mendapat kerjasama rakan penaja sepanjang acara ini berlangsung antaranya Pengangkutan Rasmi Starvendors iaitu Mitsubishi Motors Malaysia dan Lofty Ambition Sdn Bhd yang menyediakan dua buah kereta eksklusif untuk Starvendors membuat roving selama setahun.










