PGL: Tidak cari orang yang ‘meniru’ saya - Tiara Jacquelina  - Utusan Malaysia

PGL: Tidak cari orang yang ‘meniru’ saya – Tiara Jacquelina 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejarah tidak pernah menipu tentang betapa besarnya impak naskhah Puteri Gunung Ledang (PGL) dalam industri seni tanah air. Sebut sahaja judulnya, ingatan kita pantas melayang kepada keanggunan watak Gusti Putri yang pernah dihidupkan dengan begitu luar biasa oleh Datin Sri Tiara Jacquelina.

Sebagai pelakon pertama yang menyarung persalinan ikonik itu, Tiara telah meletakkan satu tanda aras yang sangat tinggi. 

Dia bukan sahaja memberikan wajah kepada puteri jelita itu, malah meniupkan roh yang membuatkan watak itu kekal sebagai legenda dalam sanubari para peminat.

Namun, selepas bertahun- tahun berlalu, persoalan yang sering meniti dari bibir ke bibir adalah siapa yang akan layak menyarung semula persalinan itu.

Adakah naskhah agung ini akan terus dibayangi imej asal Tiara atau bakal muncul satu revolusi baharu yang mampu memberikan interpretasi berbeza?

Pertanyaan itu dilayangkan kepada Tiara. Kebetulan, sesi uji bakat Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang juga baru sahaja melabuhkan tirainya minggu lalu. 

Menurut Tiara, dia berbangga dan teruja mengenai kebangkitan semula fenomena ini.

“Alhamdulillah, sambutannya sangat luar biasa dan amat mengujakan. Terus terang, kami agak terpegun dengan jumlah dan kualiti bakat yang tampil untuk uji bakat kali ini.Secara keseluruhan, kami mempunyai lebih kurang 200 orang untuk dipertimbangkan bagi watak utama serta barisan pelakon berkumpulan,” katanya. 

Apa yang paling menyentuh hati primadona ini adalah apabila melihat ada peserta yang masih kecil sewaktu pementasan asal dahulu kini berdiri di depan mata. 

“Bagi saya, itu sangat bermakna. Ia menunjukkan bahawa selepas bertahun-tahun, PGL masih hidup dalam hati ramai orang,” ujarnya.

Mereka hadir bukan sekadar mencuba nasib tetapi membawa tekad untuk menjadi sebahagian daripada legasi yang mereka kagumi.

“Ramai yang datang kerana mereka benar-benar membesar dengan karya ini. Ia menunjukkan bahawa selepas bertahun-tahun naskhah ini masih hidup dalam hati ramai orang,” ujarnya.

Namun, dalam keriuhan mencari pengganti, satu perkara yang ditegaskan oleh Tiara ialah soal identiti dan jati diri pelakon. 

Sebagai individu yang sudah menjadi rujukan utama ramai yang tertanya tanya adakah dia sedang mencari seorang klon untuk mengulangi kejayaannya dahulu?

Bagi Tiara, tujuan utama uji bakat ini bukanlah untuk mencari seseorang yang mahu meniru apa yang pernah dia lakukan sebagai Gusti Putri terdahulu. 

Katanya, dia mahu memberi ruang kepada bakat baharu untuk bernafas dengan cara mereka sendiri di atas pentas.

“Saya tidak mencari seseorang yang mahu meniru apa yang pernah saya lakukan. Itu bukan tujuan saya. Saya mahu melihat seorang pelakon yang boleh memahami jiwa Gusti Putri tetapi membawanya dengan kebenaran dirinya sendiri.

“Saya tidak mahu versi yang sama. Saya mahu roh yang sama tetapi dengan cahaya yang baharu,”ujarnya. 

Tambah Tiara, dia  mencari seorang pelakon yang mampu menyelami jiwa Gusti Putri sebagai wanita yang sarat dengan kelembutan namun memiliki maruah yang tinggi. 

Ini kerana watak  ini memerlukan stamina emosi yang besar sementelah Putri memikul beban perjalanan cerita yang sangat berat.

“Watak Putri bukan sekadar cantik atau anggun. Dia membawa emosi yang sangat berat untuk persembahan itu.Dalam PGL, Putri membawa lebih kurang 70 peratus perjalanan cerita. Jadi, pelakon itu perlu mempunyai stamina emosi, stamina vokal, disiplin pentas dan kemampuan untuk menonjolkan aura yang luar biasa tetapi masih boleh dipercayai.

“Untuk watak utama, pengalaman pentas memang sangat membantu kerana mereka perlu membawa beban emosi dan teknikal yang besar,” jelasnya.

Selain watak utama, Tiara turut meletakkan piawaian yang sangat tinggi buat barisan pelakon berkumpulan yang disifatkan sebagai nadi cerita. Mereka adalah tulang belakang yang membina dunia PGL di atas pentas melalui tarian serta nyanyian secara langsung.

“Untuk pelakon berkumpulan pula, kemahiran menari adalah sangat penting, dan mereka juga mesti boleh menyanyi secara langsung. 

“Pelakon berkumpulan adalah Nadi dan tulang belakang sebuah persembahan. Mereka “membina” dunia PGL di atas pentas. Jadi, tahap persembahan teknikal mereka tidak boleh dikompromi,” katanya.

Walaupun pengalaman diutamakan, Tiara tetap tidak menutup pintu buat bakat baharu yang mungkin masih mentah namun mempunyai potensi besar. 

“Saya sentiasa terbuka kepada bakat baharu. Dalam mana-mana produksi, kadang-kadang kita boleh terjumpa seseorang yang mungkin belum dikenali, tetapi mempunyai sesuatu yang sangat istimewa.

“Ini bukan produksi kecil. Ini sebuah teater muzikal berskala besar yang memerlukan pelakon dan pelakon berkumpulan yang boleh ‘memulakan kerja dengan segera’,” jelasnya.

Satu perkara yang menjadi kegusaran Tiara adalah tentang tahap persediaan anak seni dalam memelihara kemahiran mereka.

Tiara berharap agar para pelakon tidak hanya menunggu peluang datang baru hendak menyegarkan vokal atau teknik lakonan masing masing.

Dalam pada itu, sebagai langkah persediaan, Enfiniti Academy bakal menganjurkan bengkel Tarian Jawa dan Silat Melayu yang dikendalikan oleh pakar antarabangsa.

“Untuk PGL, Enfiniti Academy akan menjalankan bengkel Tarian Jawa dan silat Melayu dari sekarang hingga Mei untuk semua pelakon dan pelakon berkumpulan yang dipilih. Selepas itu, mulai Ogos, rehearsal akan berjalan secara penuh,” katanya.

Dua nama besar dari Solo Indonesia iaitu Danang Pamungkas dan Dewi Galuh Sinta Sari dibawa khas bagi tujuan tersebut.

Selain itu, Tiara juga yakin dengan potensi yang ada mampu memberikan satu persembahan yang bakal dikenang untuk kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN