'Gelombang hijau' belum reda, jadi cabaran menggerunkan Kerajaan Perpaduan - Ramasamy - Utusan Malaysia

‘Gelombang hijau’ belum reda, jadi cabaran menggerunkan Kerajaan Perpaduan – Ramasamy

P. Ramasamy
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy menilai ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN) masih belum reda dan menunggu masa untuk menyebarkan pengaruhnya dalam keadaan yang menguntungkan.

Tegasnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, adalah salah untuk mengatakan bahawa negara telah melihat lonjakan terakhir PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Sebaliknya, jelas beliau, ia akan menjadi satu cabaran yang menggerunkan bagi Kerajaan Perpaduan di bawah bebanan politik identiti untuk bergerak ke hadapan.

Tambahnya, politik kaum dan agama yang ektremis telah banyak memberi manfaat kepada PN.

“Sekali lagi kesilapan besar tidak boleh diulangi dengan mengatakan bahawa pilihan raya negeri adalah episod akhir politik PN.

“Jelas sekali bahawa politik PN masih belum berakhir, malah ia mungkin berlanjutan ke pilihan raya umum akan datang,” katanya menerusi status terkini di laman sosial Facebooknya hari ini.

Menurut Ramasamy yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, bagaimana gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) akan menggagalkan ‘gelombang hijau’ itu masih belum dapat dilihat.

Jelasnya, bergerak menuju langkah yang logik tidak cukup untuk membendung arus ‘gelombang hijau’ dan analisis mendalam diperlukan untuk mengatasi ‘gelombang hijau’ itu tanpa bergerak ke kanan.

Bagaimanapun, tambah beliau, tindakan sedemikian mungkin mengasingkan pangkalan bukan Melayu sehingga kesan yang tidak diingini mungkin berlaku.

“Mungkin, Kerajaan Perpaduan terperangkap antara dua pilihan yang tidak begitu baik.

“Bagaimana Kerajaan Perpaduan akan bergegas keluar daripada situasi politik yang rumit ini masih belum dapat dilihat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tertanya-tanya sama ada UMNO boleh dihidupkan semula secara politik selepas kemerosotan besar pada PRN kali ini.

Jelasnya, tuduhan rasuah terhadap pemimpin tertentu tergantung di leher mereka seperti ‘Pedang Damocles’.

Malah, ujar beliau, sekiranya tiada sokongan bukan Melayu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, ia akan menjadi cerita yang menyedihkan bagi UMNO.

“Sungguh paradoks; dahulunya calon bukan Melayu dalam BN bergantung kepada sokongan UMNO, hari ini adalah sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya